Kenyataan sesetengah pihak yang mempersoalkan status penderma organ dan darah membabitkan orang Islam serta bukan Islam kepada mereka yang memerlukan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Seperti dijelaskan, sistem pengagihan organ daripada penderma yang telah meninggal dunia kepada penerima dibuat berdasarkan kriteria klinikal, dan bukan atas dasar bangsa, agama serta status dalam masyarakat. Selain itu, ia bergantung kepada tempoh pesakit menjalani rawatan serta keserasian organ tersebut dengan sistem badan penerima.

Secara amnya, memang terdapat kemungkinan organ didermakan orang bukan Islam kepada Muslim, dan begitu juga sebaliknya. Sementara itu, mereka yang bercadang menderma organ dinasihatkan agar berbincang atau memaklumkan hasrat itu kepada ahli keluarga bagi mengelak sebarang kekeliruan setelah meninggal dunia.

Bagi individu di bawah usia 18 tahun, mereka harus mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, manakala dewasa Muslim perlu merujuk fatwa dikeluarkan Muzakarah Fatwa Kebangsaan seawal 1970, iaitu mengharuskan pendermaan organ dalam kalangan masyarakat Islam.

Ramai pakar dalam bidang agama termasuk mufti menjelaskan bahawa orang Islam boleh menerima organ dan darah daripada bukan Islam dan sebaliknya. Sepatutnya kita berusaha menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri bagai penderma organ dan darah kerana jumlahnya masih rendah, manakala jumlah pesakit memerlukan semakin meningkat.

Sejak 1997 sehingga September tahun lepas, hanya 1.2 peratus atau 362,450 daripada seluruh rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ. Ini amat membimbangkan kerana untuk pesakit buah pinggang sahaja, kira-kira 20,000 individu sedang menunggu peluang untuk menjalani pemindahan organ itu pada masa ini.

Dilaporkan jumlah penderma organ telah menurun kepada 40,000 setakat November lepas berbanding 50,000 dalam tempoh sama pada 2015, akibat kebimbangan orang ramai mengenai penjualan organ yang ditular ke dalam laman sosial.

Jika kita terus menerus menimbulkan kekeliruan dan polemik mengenai isu ini, saya bimbang semakin ramai yang membatalkan hasrat mereka untuk menjadi penderma organ dan darah.

 

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi Jawatankuasa 
Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan