Matlamat utama Yadim adalah untuk mengembangkan dakwah massa bagi melahirkan sebaik-baik umat melalui pendekatan berhikmah dengan beberapa fungsi teras untuk menyelaraskan kegiatan dakwah Islam dengan pendekatan sosial dan melahirkan pendakwah Islam berpengetahuan serta berkemahiran.

Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) memandang serius pelantikan ahli lembaga pengarah Yadim yang hampir kesemuanya dalam kalangan ahli politik. Seramai 10 daripada 12 orang atau hampir 85% adalah ahli politik Pakatan Harapan (PH) termasuk seorang daripada DAP.

Pelantikan sedemikian bukan sahaja meranapkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat perubahan lebih baik selaras dengan ungkapan Malaysia Baharu, malah dilihat memperkotak-katikkan manifesto PH dan meruntuhkan institusi agama Islam seperti Yadim.

Persoalannya, bagaimanakah Yadim akan berfungsi untuk mengembangkan dakwah Islam di sebalik lantikan politik berkenaan tanpa berlakunya keadaan berat sebelah kepada pendakwah lain yang tidak sealiran fahaman politiknya atau yang berada di atas pagar?

Rakyat akan melihat Yadim sebagai salah satu alat politik yang menunggang agama. Dewan Pemuda Ikatan berpendapat keadaan janggal telah berlaku dengan pelantikan ahli politik DAP dalam Yadim.

Matlamat DAP berdasarkan visi dan misi parti itu adalah untuk memulihkan Perlembagaan Persekutuan kepada rangka kerja sekular yang asal iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

Sekularisme menekankan kerajaan harus wujud terasing daripada agama. Amat janggal apabila Yadim yang bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri dan menteri tertentu, diterajui oleh ahli lembaga pengarah daripada parti yang mempunyai matlamat untuk mendukung konsep sekularisme.

Dewan Pemuda Ikatan menggesa menteri bertanggungjawab memberikan penjelasan dan memperbaiki keadaan sebelum situasi menjadi lebih parah.

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Ikatan