Mereka mendakwa isu Pulau Kukup dan pembangunan di Sungai Pulai merupakan petunjuk bahawa kerajaan negeri tidak mementingkan kelestarian alam sekitar dan sanggup merobek khazanah tersebut demi pembangunan. Bagaimanapun, adakah mereka lupa tentang isu-isu di negeri lain yang sehingga kini masih tiada penyelesaian?

Perlombongan bauksit di Pahang, aktiviti menambak laut untuk membina Malaysia’s Marina Bay di Pulau Pinang, pembersihan hutan di Perak untuk perladangan, pembalakan tidak terancang di Kelantan, pembinaan lebuh raya di Selangor merentasi hutan simpan serta pembinaan kondominium di kawasan yang digazetkan seperti di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.

Di mana suara mereka dalam menentang dan mengkritik kerajaan negeri lain yang turut cuba memajukan negeri masing-masing? Di manakah joint statement daripada kumpulan-kumpulan NGO mengenai projek-projek ini? Saya sebagai anak Johor cukup pelik dan jelak dengan pendekatan NGO yang ternyata mengambil pendekatan pilih kasih serta berdiam diri apabila isu sama timbul di negeri-negeri lain.

Atau adakah mereka sebenarnya digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memenuhi agenda tersendiri dan mengganggu-gugat permuafakatan rakyat Johor? Lebih penting, ini tidak bermakna segala bentuk pembangunan patut dijalankan tanpa mengambil kira kos alam sekitar.

Saya menyeru NGO supaya bersikap lebih adil dan tidak terlalu taksub menentang agenda untuk memajukan Johor. Bantahan yang membabi buta tanpa mengira manfaat hanya akan merugikan rakyat Johor kelak.

FADHLI ABD. RAHMAN

Johor