Malangnya, pada masa sama mereka dihujani dengan bermacam-macam iklan bagi menarik orang ramai membeli lebih banyak barangan termasuk tawaran potongan harga sehingga 50 peratus.

Iklan tidak mengelirukan pengguna boleh diterima tetapi apakah matlamat sesetengah iklan yang mengaitkan promosi jualan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tindakan berkenaan telah mencemarkan kesucian hari yang mulia itu.

Oleh itu, pihak berkuasa dan ulama perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan promosi sedemikian kerana Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan unik yang tiada hubungan dengan sebarang peristiwa sejarah, perubahan musim atau kitaran pertanian. Dalam erti kata lain, sambutan itu tidak mempunyai kaitan dengan keduniaan.

Kepentingan sambutan itu adalah untuk kerohanian sepenuhnya. Tarikh 1 Syawal adalah hari untuk umat Islam bersyukur kepada Allah yang telah memberikan mereka semangat dan kekuatan untuk menunaikan ibadah puasa serta patuh kepada perintah-Nya sepanjang Ramadan.

Dalam pada itu, umat Islam hendaklah meraikan perayaan itu secara sederhana dan mengelakkan aktiviti maksiat. Allah SWT telah memerintah kita untuk tidak boros menerusi firman:

“Dan berikanlah haknya kepada kerabat terdekat, juga kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya orang yang pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isra’ ayat 26 dan 27)

Ramai orang Islam kaya telah melanggar perintah ini dengan melakukan pembaziran walaupun ketika Ramadan. Mereka berbelanja mewah bagi menghias rumah, membeli perabot mahal, langsir, pakaian, jam tangan dan pelbagai barangan peribadi lain.

Gaya hidup mewah itu turut mempengaruhi pihak lain. Golongan berpendapatan rendah cuba meniru orang kaya dengan mengamalkan gaya hidup melampaui kemampuan sehingga terperangkap dengan beban hutang.

Masalah kewangan mencetuskan pergolakan dalam keluarga sehingga membawa kepada perceraian yang menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

Kekayaan dianugerahkan Allah kepada manusia sebagai pemegang amanah bukan untuk diboroskan dengan gaya hidup mewah tetapi bagi membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan pertolongan.

Di Syria, Iraq dan negara-negara Islam lain yang musnah akibat peperangan, kira-kira 10 juta orang menjadi pelarian dan hidup dalam khemah.

Mereka tiada makanan mencukupi dan tidak mendapat kemudahan pendidikan serta penjagaan kesihatan sempurna.

Dalam keadaan ummah sebegini, tidakkah menjadi satu ‘jenayah’ bagi mereka yang kaya untuk berbelanja dengan boros?

Sementara itu, sudah menjadi amalan kepada parti politik dan syarikat untuk mengadakan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri dengan menyediakan pelbagai juadah dan persembahan hiburan.

Banyak makanan dibazirkan ketika majlis sedemikian. Dianggarkan jumlah keseluruhan mencecah jutaan ringgit.

Tidakkah lebih bermanfaat jika wang berkenaan digunakan untuk menyediakan biasiswa bagi membolehkan anak-anak orang miskin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti?

Sambutan rumah terbuka secara sederhana adalah yang terbaik dan seeloknya dianjurkan oleh setiap penduduk dengan menjemput jiran berbilang kaum. Langkah itu akan dapat merapatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)