Langkah ini memang perlu memandangkan negara kita sudah mencatatkan 28 juta kenderaan di atas jalan raya dengan kira-kira satu pertiga daripadanya ditinggalkan terbiar di merata tempat khususnya berhampiran bengkel dan depot tahanan kenderaan.

Jika dahulu kebanyakan jalan raya agak lengang, peningkatan ekonomi dan pendapatan isi rumah yang mendadak telah menyebabkan kebanjiran kenderaan sehinggakan hampir setiap inci jalan dan lebuh raya termasuk jalan di kawasan perumahan, berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

Jika dahulu purata satu kereta dan satu motosikal sahaja bagi setiap rumah, kini sebuah rumah mungkin mempunyai sehingga enam buah kereta (tidak termasuk motosikal).

Malangnya, ada pemilik kenderaan membiarkan kereta lama mereka ‘tersadai’ di depan rumah walaupun sudah tidak boleh digunakan. Kos untuk membaik pulih terlalu mahal, mahu jual tetapi harganya terlampau rendah sehinggakan jual sebagai besi buruk lebih untung.

Tambahan pula jika berlaku kemalangan, sebahagian kenderaan yang remuk khususnya motosikal ditinggalkan begitu sahaja di tepi jalan memandangkan pemilik sudah mendapat pampasan insurans.

Namun, ‘bangkai’ kenderaan itu secara sah masih lagi ‘bertuan’ dan menyukarkan pihak berkuasa melupuskannya tanpa kebenaran daripada pemilik.

Adalah sangat wajar sekiranya satu peruntukan undang-undang untuk merampas dan mengitar semula besi buruk daripada kenderaan terbiar ini jika sudah terlalu lama ditinggalkan ‘mereput’ di tepi jalan.

Bagaimanapun, langkah sama tidak boleh dikenakan ke atas kenderaan yang masih digunakan di atas jalan raya sekalipun keadaannya uzur mengalahkan reban ayam.

Saya menyokong saranan supaya kenderaan melebihi usia 20 tahun diwajibkan mendapat surat kelulusan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) setiap kali mahu memperbaharui insurans dan cukai jalan.

Selain itu tawarkan imbuhan tertentu untuk menarik pengguna menukar kenderaan baharu tetapi janganlah ada paksaan seperti mana tindakan syarikat insurans mengenakan caj lebih tinggi mengikut usia kenderaan.

Perlu diingat, pembelian kenderaan baharu kebiasaannya bermakna seseorang terpaksa hidup berhutang sehingga sembilan tahun lamanya dan jika dijadikan paksaan, kitaran hidup berhutang itu akan berterusan sebaik sahaja mereka habis membayar untuk kenderaan terdahulu.

Ini hanya akan menguntungkan pengeluar dan penjual kereta sementara pengguna terpaksa membeli kenderaan baharu setiap kali tamat ‘kitaran hutang’ mereka.

Memandangkan kenderaan persendirian adalah harta peribadi, tidak boleh wujudkan paksaan untuk mereka melupuskannya selagi mana kenderaan itu dijaga dengan baik dan boleh digunakan di atas jalan raya.

‘Paksaan’ itu bagaimanapun lebih sesuai dilaksanakan untuk kenderaan berat dan perindustrian seperti lori dan bos memandangkan ada yang sudah melangkau 40 tahun tetapi masih digunakan di atas jalan raya.

Tambahan pula, kenderaan berat dan komersial berisiko menyebabkan kerosakan teruk serta jumlah kematian besar jika terlibat dalam kemalangan berbanding kenderaan persendirian.

Apa pun, saya berharap pihak berwajib merangka perundangan untuk isu ini secara berhemah kerana tujuannya adalah untuk menyelesaikan masalah kenderaan ‘tersadai’, bukannya untuk memaksa orang awam menggunakan kenderaan baharu sepanjang masa.

Jangan disamakan kenderaan ‘tersadai’ dengan yang masih boleh digunakan. Kadangkala punca kemalangan itu adalah manusia yang memandu dan bukannya kenderaan yang dipandu.

LOYER PENCEN

Ampang Jaya, Selangor