Walaupun sasaran tidak tercapai, sebenarnya pencapaian 90 emas itu sudah cukup menggambarkan betapa atlet-atlet para negara sudah melakukan yang terbaik, dalam erti kata ­melakukan yang terbaik di sebalik kesedihan kerana merasa sedikit tersisih atau tidak begitu dipedulikan.

Bagi saya ini adalah pengorbanan besar daripada atlet para negara apabila berdepan situasi sukar untuk menghadapi cabaran peserta negara lawan tanpa sokongan cukup padu daripada pihak-pihak tertentu.

Nasib baiklah, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sentiasa memantau dan memberikan sokongan kepada atlet negara yang beraksi dalam Sukan Para ASEAN. Memang benar beliau adalah menteri yang menjaga hal ehwal sukan tetapi jika semata-mata diserahkan kepadanya, pihak lain tidak ‘tertarik’ dengan Sukan Para ASEAN, tentulah menyedihkan.

Apa maknanya, sewaktu atlet kita pulang dari Sukan Paralimpik di Rio de Jeneiro, September tahun lalu dengan membawa pingat emas dan memecah rekod dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibanjiri ribuan manusia termasuk orang kenamaan meraikan kejayaan mereka. Apakah kerana kecemerlangan dalam temasya sukan bertaraf dunia, baru boleh atlet para diraikan?

Sukan SEA yang berakhir baru-baru ini, cukup meriah, dalam Facebook jangan cakap, orang kenamaan dan orang politik tidak putus-putus merakamkan tahniah atas kejayaan para atlet negara malah pemimpin-pemimpin di peringkat negeri pun turut sama, tetapi bila sampai Sukan Para ASEAN, adakah mereka menerima ucapan yang sama?

Malah seorang atlet telah meluahkan rasa terkilannya kerana tiada siaran langsung sewaktu acara Sukan Para ASEAN berlangsung, selain kekecewaannya terhadap kerajaan negeri yang tidak peka terhadap atlet para.

Mereka (atlet para) juga mahu merasakan nikmat sebagaimana atlet normal kecapi. Sepatutnya dalam keadaan mereka yang sebegitu kita wajar memberikan lebih sokongan menerusi pelbagai cara termasuk dalam bentuk penajaan.

Jika program realiti atau sukan lain, ada sahaja penaja yang boleh menaja ratusan juta ringgit, apalah salahnya disumbangkan sedikit untuk atlet para supaya hasrat atau impian mereka tercapai.

Bukalah mata, lihatlah mereka kerana tanpa sedar mereka juga adalah warga Malaysia yang berjuang untuk negara dengan cara sendiri.

PEMBELA ATLET PARA

Alor Star, Kedah