Pemansuhan itu juga mampu membuat murid seronok belajar sebelum mula berdepan tekanan pada tahap seterusnya.

Sebagai ibu bapa, kita mungkin setuju dengan pengumuman Menteri Pendidikan berhubung perkara itu dan sudah pasti tidak ada tekanan kepada murid serta tidak membantutkan pertumbuhan mereka.

Tetapi pada masa sama, pihak kementerian perlu memberi garis panduan dan tatacara pentaksiran di peringkat sekolah agar tidak berasaskan secara berpusat sebaliknya memberi kuasa ‘autonomi’ kepada sekolah.

Sejarah pernah berlaku pada 1989 dan 1990, Pentaksiran Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS) diperkenalkan. Banyak wang dibelanjakan untuk bengkel dan penyebaran maklumat ke seluruh negara tetapi hanya sekadar bertahan setahun dua sebelum PKBS lenyap.

Begitu juga Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi kalut kerana sistem atas talian begitu lembab dan gagal dilaksanakan kerana banyak rungutan daripada pihak pelaksana. Kini PBS bagai hidup segan, mati tak mahu dan dijalankan secara offline.

Sebenarnya, saya kira PKBS dan PBS gagal disebabkan ada dua cara penilaian. Pertama, murid ditaksir secara sumatif (berterusan) dan formatif, bila sistem PBS itu dilihat ‘gagal’, pelaksana terus menggunakan pentaksiran secara bertulis.

Kedua, PBS begitu banyak item sehingga 100 perkara perlu dinilai bagi setiap murid secara pemerhatian, amali, hasil kerja dan peperiksaan bertulis.

Kalau murid begitu ramai dalam setiap kelas dan guru juga mengajar banyak kelas, maka pasti gagal ‘mengejar’ di samping perlu menghabiskan silibus pendidikan.

Tahun 2018 sudah sampai penghujung, 2019 bakal tiba tetapi pihak kementerian masih sewenang-wenangnya memaklumkan akan berlaku perubahan itu dan ini tanpa memberi makluman apa yang bakal dihadapi pelaksana.

Ini pernah berlaku semasa pertama kali Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilaksanakan. Hampir pertengahan tahun baru guru mula menerima cara pelaksanaan dan format taksiran. Saya setuju dengan saranan pemansuhan itu bagi memberi ruang kepada guru membentuk jati diri murid yang lebih baik dan berkesan tanpa pengasingan antara murid di sekolah.

Tetapi, pihak kementerian perlu mengkaji cara untuk mengurangkan mata pelajaran agar murid lebih fokus kepada asas membaca, menulis, mengira tanpa meminggirkan komunikasi serta pendidikan sivik, agama Islam serta moral.

Usia muda ini juga perlu dititikberatkan dengan pendidikan jasmani, kebersihan, muzik dan seni visual. Tidak perlulah banyak mata pelajaran yang tidak memberi kesan baik sehingga melupakan kemahiran asas.

Diharap Kementerian Pendidikan segera memberi prosedur pelaksanaan pendekatan baharu untuk tahap satu tersebut, bermula tahun satu.

Tahun 2019 sebenarnya kurang sesuai kerana sudah terlalu dekat, seharusnya dilaksanakan pada 2020. Semua perubahan perlu dilakukan secara bermesyuarat, bengkel dan kursus, bukannya diumumkan tanpa dimaklum dahulu kepada setiap bahagian berkaitan dalam Kementerian Pendidikan.

GURU LAPOK

Jalan Kelang Lama