Tindakan segelintir restoran India bukan Islam berbuat demikian demi melariskan perniagaan dengan mengelirukan pelanggan Islam adalah sesuatu yang mengejutkan. Saya yakin isu ini benar-benar merisaukan umat Islam kerana mereka mempermainkan al-Quran. Tindakan seumpama ini tidak boleh dikompromi kerana mereka tidak menghormati agama Islam.

Barangkali kita boleh mengesan ‘Islam’ mereka dengan cara adakah premis ditutup atau tetap beroperasi semasa solat Jumaat. Begitu juga adakah mereka berniaga seperti biasa pada waktu siang di bulan Ramadan. Tapisan dan pemerhatian seperti ini memberi gambaran awal kepada kita untuk menilai restoran tersebut dikendalikan benar-benar oleh India Muslim atau bukan Islam. Jika kita ingin kepastian lanjut, mungkin kita boleh menguji mereka dengan bertanya soalan-soalan asas mengenai Islam.

Dalam konteks yang lain, saya menyokong saranan Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor agar semua pengusaha restoran diwajibkan memiliki sijil halal sebelum beroperasi. Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sewajarnya bersama-sama jabatan agama Islam negeri termasuk pihak kementerian, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk merangka strategi agar isu ini perlu diselesaikan segera. Penggunaan ayat-ayat suci al-Quran dan isu tidak halal di restoran bukan Islam boleh menimbulkan sensitiviti agama. Pihak berkuasa perlu mengambil langkah proaktif sebelum nasi menjadi bubur ekoran kelemahan penguatkuasaan dan pemantauan.

KHALID ALWALIED
Selama, Perak