GAMBAR yang menjadi tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak diikat di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Baru Bangi.

Sebahagian masalah itu berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang memandang ringan status premis atau pusat jagaan kanak-kanak. Mereka dilihat tidak kisah menghantar anak-anak ke pusat jagaan harian mahupun pusat jagaan berkediaman (jagaan 24 jam) tanpa menyemak kelulusan premis berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Di bawah akta itu, mana-mana pengendali premis atau pusat jagaan harus memenuhi peraturan sedia ada (merujuk seksyen 7, akta 506, Akta Pusat Jagaan 1993), antaranya:

* Menetapkan jumlah kemasukan penghuni pada satu-satu masa berdasarkan perkiraan luas lantai;

* Mengambil pekerja sesuai dan layak serta mematuhi nisbah penjaga dengan penghuni sebagaimana ditetapkan;

* Mematuhi kehendak-kehendak agensi teknikal berkaitan.

Itu antara syarat minimum yang perlu dipatuhi sebelum premis pusat jagaan didaftarkan di bawah Seksyen 6, akta sama. Namun, masih ramai pengendali gagal berbuat demikian dengan alasan syarat-syarat pematuhan ditetapkan agensi teknikal sukar dipenuhi seperti:

* Harus menyediakan pintu/tangga kedua sebagaimana ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat;

* Mematuhi kehendak-kehendak pihak berkuasa tempatan yang berbeza-beza dan ada di antaranya menetapkan kadar fi yang dikatakan agak tinggi;

* Kesukaran mendapat penjaga atau pekerja terlatih dan mampu memberi komitmen tinggi;

* Ketiadaan sumber kewangan kukuh bagi peruntukan membayar gaji dan emolumen pekerja.

Apa pun alasan diberi, aspek keselamatan dan kebajikan penghuni tidak boleh dikompromi. Sewajarnya semua pengendali pusat jagaan wajib memastikan premis mereka mematuhi syarat-syarat ditetapkan akta dan peraturan.

Apakah kita sekadar ingin jadi pemerhati dan menunggu sehingga kejadian buruk baharu nak bertindak? Pilihan ada di tangan kita untuk membantu agensi berkaitan dalam memastikan semua premis pusat jagaan yang beroperasi terutama melibatkan anak yatim dan miskin tidak hanya sekadar melepaskan batok di tangga.

NOR AZIAN S.K

Shah Alam