Kilang-kilang haram yang beroperasi untuk melupuskan sisa plastik didapati tidak mengikut prosedur yang betul dan boleh mengundang pelbagai masalah kepada rakyat.

Sebaliknya pengusaha kilang mengaut keuntungan berjuta ringgit. Justeru, tindakan undang-undang perlu diambil melalui penguatkuasaan dan pemeriksaan di kawasan pengumpulan sisa plastik seperti di Pelabuhan Klang sekitar Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Jenjarom, Kuala Langat.

Jumlah pengimportan sisa plastik telah mengalami peningkatan iaitu sebanyak 132 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2017. Sebanyak 626,328.56 tan metrik sisa plastik diimport dari 10 negara dalam tempoh Januari hingga Julai.

Data Greenpeace Malaysia pula menunjukkan sisa plastik yang diimport dari negara Amerika Syarikat (AS) bertambah sebanyak 195,444 tan metrik iaitu peningkatan sebanyak 31.2 peratus berbanding 97.54 tan metrik bagi tempoh tersebut.

Jumlah peningkatan pengimportan sisa plastik ke Malaysia tanpa kawalan akan menyebabkan negara ini hanya akan dikenali sebagai negara tong sampah dunia. Kerajaan perlu bertegas dalam soal ini memandangkan masalah pengurusan sisa plastik di negara sendiri pun tidak terkawal, inikan pula untuk menambah sampah dari negara luar.

Jangan tunggu semakin ramai rakyat negara ini terkena penyakit akibat lambakan sampah yang diimport sedangkan masalah bawaan penyakit dari pendatang asing tanpa izin (PATI) semakin membimbangkan.

Jangan hanya mahu mengejar duit untuk mengisi kantung pendapatan negara hasil dari industri sisa plastik, tetapi kerajaan perlu mengambil kira dari aspek pengurusannya supaya ia tidak menjadi penyumbang kepada pencemaran sehingga boleh mengganggu ekosistem manusia dan alam sekitar.

YUSUF AKID

Sepang, Selangor