Nomofobia adalah sejenis ketakutan atau fobia yang dihadapi seseorang jika hidup tanpa telefon pintar. Dalam satu blog, bankmycell.com mendapati seseorang individu akan memeriksa telefon sebanyak 47 kali sehari dan hampir 85 peratus berbuat demikian semasa bersama keluarga dan rakan. Sebanyak 80 peratus pula akan menggunakan telefon pintar sejam sebelum tidur.

Firma antarabangsa GFluence pula menyatakan faktor utama menyumbang penggunaan telefon pintar ini adalah kegilaan terhadap media sosial dan hiburan digital. Seramai 24,572,446 atau 78.87 peratus penduduk negara ini menggunakan kemudahan internet dan Malaysia menduduki tangga ke-29.

Dapatan daripada kajian di atas bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana kita sering lihat di mana-mana sahaja kebanyakan orang sibuk dengan telefon masing-masing. Sama ada ayah, ibu atau anak-anak akan melihat telefon pintar mereka, malah, anak-anak kecil yang baru berusia satu atau dua tahun telah dibiasakan dengan telefon pintar atau tablet bagi menggelak mereka menangis atau berkelakuan nakal.

Nomofobia ini perlu dibendung terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa disarankan agar menegur anak-anak jika mereka menggunakan telefon pintar secara berlebihan terutama ketika makan atau bercakap dengan orang lain.

Hadkan masa penggunaan serta pantau isi kandungannya bagi mengelakkan mereka melayari laman web tidak berfaedah. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa bersama anak-anak dan menggalakkan mereka membaca buku cerita bermain permainan tradisional dan sebagainya.

Galakkan aktiviti luar seperti beriadah, berkhemah dan lain-lain lagi. Bagi orang dewasa pula, kita juga perlu membendung obses ini dengan mengehadkan penggunanya terutama ketika sedang bekerja atau berada di rumah bersama keluarga sehingga menjejaskan kualiti kehidupan seharian sama ada di rumah atau di tempat kerja.

Terkadang saya terfikir, alangkah indahnya kehidupan adik Syukor Khamis dari Sekolah Menengah Padan Midin Terengganu yang sedang tular sekarang ini adalah contoh remaja yang masih bangga mengekalkan tradisi kampung tanpa gajet canggih dan moden.

Namun dia mampu tersohor di serata pelosok dunia dek aksi mesra dan semulajadinya bersama haiwan peliharaan keluarganya. Kisah tular ini sedikit sebanyak mengubah persepsi bahawa sebenarnya banyak perkara baik di luar sana boleh dijadikan aktiviti selain mendampingi telefon pintar yang akhirnya menjadikan kita nomofobia.

FAZLIN UTEH
Pensyarah UiTM