Saya seorang pegawai kanan yang sudah berpuluh tahun berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, berasa sungguh terhina dengan kata-kata ini seolah-olah penjawat awam itu sama seperti orang politik yang tidak pandai menunaikan janji dan melaksanakan tanggungjawab.

Walaupun bukan saya yang terlibat dalam pengurusan gaji pegawai terbabit, saya dapat merasakan ada masalah prosedur dan dokumentasi punca bayaran tidak dilaksanakan. Kami penjawat awam sudah berpuluh tahun bertugas dan cukup masak dengan semua peringkat perihal urusan pejabat, bukannya ahli politik bidan terjun yang masih dalam mood ‘bulan madu’.

Tidak kira siapa pemerintah, kami akan laksanakan tugas mengikut peraturan, prosedur dan keperluan dokumentasi yang telah termaktub, bukannya buat kerja mengikut arahan lisan seperti di syarikat sendirian berhad. Tidak perlu takut kepada bayang sendiri jika tidak melakukan kesalahan atau apa-apa perancangan yang boleh menjejaskan rakyat dan negara kerana kakitangan awam tiada sebab untuk mengkhianati pemerintah sedia ada sekalipun berlainan ideologi.

Cubalah bersikap profesional dalam urusan kerja mentadbir dan jangan anggap kami seperti seteru politik anda. Kami bukan orang politik dan hanya melaksanakan amanah. Sila tinggalkan politik di luar pintu pejabat.

TUNGGU PENCEN

Putrajaya