Ternyata, ini adalah satu lagi fitnah yang dilemparkan olehnya demi untuk meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Jika beliau masih beria-ia cuba untuk ‘menegak benang yang basah’ maka nasihat saya kepada beliau adalah sila buktikan dakwaannya itu.

Sedangkan hakikatnya adalah pelantikan ahli majlis sudah semestinya dibuat dalam kalangan orang tempatan.

Saya difahamkan, kerajaan negeri sangat teliti dalam soal melantik ahli majlis dengan memastikan hanya mereka yang menetap dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands yang dipilih dan dilantik.

Selain itu, kerajaan negeri juga sangat mementingkan soal komposisi kaum dan jantina. Oleh itu, dalam kalangan ahli-ahli majlis MDCH juga terdapat Orang Asli, wanita, golongan muda serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mengenai dakwaan beliau bahawa MDCH menetapkan bayaran petak letak kereta terlalu mahal, pertama-tamanya, bukan kesemua tempat letak kereta di Cameron Highlands dikenakan bayaran.

Hanya di kawasan-kawasan tumpuan pelancong dikenakan caj tersebut iaitu di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.

Bagaimanapun, kawasan-kawasan penempatan penduduk seperti di Lembah Bertam, Ringlet, Habu, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja tidak dikenakan bayaran letak kereta tersebut.

Pengenaan bayaran letak kereta itu pula sebenarnya termaktub dalam Jadual Pertama, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MDCH) 2016 yang mana bayaran atau caj ditetapkan adalah 60 sen setiap satu jam atau RM80 sebulan.

Ekoran maklum balas orang ramai sebelum ini lagi, MDCH bersetuju untuk menyediakan kupon 30 sen bagi setiap setengah jam.

Ini demi memudahkan mereka khususnya yang menggunakan tempat letak kereta kurang daripada tempoh satu jam.

Mengenai dakwaan kononnya pas bulanan yang diperkenalkan juga mahal, MDCH menawarkan diskaun 25 peratus ke atas mereka yang membayar untuk tempoh lebih daripada sebulan.

Sememangnya, dalam melaksanakan kutipan bayaran tempat letak kereta ini, tempohnya ialah antara pukul 8 pagi sehingga 6 petang dan ia dikenakan pada tiap-tiap hari termasuk juga pada hari cuti umum.

Rasionalnya adalah kerana Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan tarikan pelancon maka MDCH perlu mengawal sistem tempat letak kereta supaya berjalan lancar.

Dengan kawalan ini, maka orang ramai tidak akan meletak kenderaan sesuka hati atau di kawasan yang tidak dibenarkan, sehingga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Di samping itu, kawalan berkenaan memastikan orang ramai tidak meletak kenderaan persendirian mereka terlalu lama.

Ini terutama melibatkan peniaga yang seolah-olah menjadikan tempat letak kereta ‘milik sendiri’ sehingga menyebabkan orang lain tidak dapat meletakkan kenderaan di situ.

Adakah berkesan tindakan yang diambil oleh MDCH ini? Jawapannya ya. Sejak MDCH mengenakan caj tempat letak kereta pada 1 Oktober lepas, didapati orang ramai terutama pelancong, lebih mudah untuk mendapat tempat letak kenderaan.

Dengan pengenaan bayaran letak kereta ini, hasil yang MDCH dapat akan ‘dipulangkan’ semula kepada orang ramai.

Ini termasuk digunakan bagi pengurusan sisa pepejal yang lebih baik di samping dapat menambah pelbagai kemudahan awam untuk penduduk dan pelancong.

YOPE KEY-DARE

Cameron Highlands