Pun begitu, tidak semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang betul-betul meneliti fasal-fasal yang terkandung dalam Perlembagaan itu.

Inilah yang berlaku sekarang. Kekeliruan dan kecelaruan sengaja dibangkitkan atas dasar semakan. Jelas yang semuanya ini ke arah mainan politik.

Yang pasti, bukan sebarangan orang yang mengolah, menghasilkan dan merangka begitu rupa tatacara peraturan dan perundangan sehingga terbentuknya satu Perlembagaan negara.

Individu atau ahli politik kebelakangan ini kelihatan macam cacing kepanasan meronta-ronta menyentuh hal-hal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka semua ini membawa agenda kepentingan diri dan segelintir kelompok kaum sahaja. Tujuannya memecah tradisi perpaduan yang selama ini telah lama dibina.

Keamanan yang dikecapi bersama selepas kemerdekaan cuba dinodai oleh anasir-anasir jahat yang berhaluan kiri.

Perlu diingatkan bahawa tidak ada negara di dunia seindah Malaysia yang mengamalkan hubungan toleransi kaum yang tunjangnya kepemimpinan bangsa Melayu.

Akhir kalam, jangan cuba mengganggu-gugat Perlembagaan negara ini. Adakah kita semua betul-betul Sayangi Malaysiaku sebagaimana tema Hari Kebangsaan 2018 yang dilaung-laungkan pada tahun ini. Kata mesti dikotakan!

PANGLIMA HITAM
Perlis