Jika dibiarkan untuk dipolemikkan atas apa jua tujuan, ICERD akan mengundang rasa tidak puas hati dan perpecahan yang ketara antara kaum di negara ini khususnya kaum majoriti.

Cadangan ratifikasi ICERD jelas sekali akan menafikan kesepakatan kontrak sosial yang sudah lama dipersetujui antara nenek-moyang semua kaum di negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan.

Menurut Harussani, sikap menolak diskriminasi terhadap kaum-kaum lain sudah terbukti dengan menerima kedatangan mereka ke negara ini serta layanan baik hasil nilai dan budi kaum bumiputera khususnya Melayu Islam.

Adalah wajar kedudukan Agama Islam dan Ketuanan Melayu seperti yang telah disepakati terutamanya Perkara 3(1) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak dipertikaikan dan dicabar secara langsung mahupun dengan berselindung di sebalik agenda seperti ICERD.

Kenyataan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu ADUN Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong menggesa parti itu memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD menjadi satu contoh cubaan terbuka mencabar kesabaran orang Melayu dan pribumi.

Sesungguhnya untuk rakyat hidup aman bahagia di negara ini, janganlah ada pihak tertentu merasa diri masing-masing sudah hebat sehingga berani membuat onar.

Mengajak Melayu liberal menyokong ICERD tidak bermakna mereka menerima sokongan majoriti Melayu konservatif yang masih berpegang kuat kepada agama dan budaya kami.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah