Walaupun menteri itu kemudiannya mengubah perkataan yang digunakan untuk cuba mengalihkan perhatian rakyat, namun kerosakan telah pun terjadi.

Selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kepemimpinan DAP tetap bertindak melulu seperti dahulu dengan melakukan pelbagai ‘serangan’ terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya MCA. Bahasa dan cara-cara yang digunakan adalah kurang sopan dan agak keterlaluan bagi sebuah parti politik yang kononnya mempunyai cita-cita besar dan luhur.

Akhbar bukan Melayu kerap menyindir pemikiran kepemimpinan DAP berkenaan yang disifatkan tetap tidak berubah walaupun Pakatan Harapan (PH) yang disertai parti itu sudah berjaya memerintah di peringkat kerajaan Pusat.

Bagi kebanyakan pengundi pula, tindakan UMNO dan Pas mencari satu mekanisme baharu untuk mengelakkan perbalahan yang tidak bermanfaat boleh difahami dan diterima.

Selepas ditolak pengundi khasnya dalam kalangan bukan Melayu, maka wajar sekali UMNO mencari formula baharu untuk kebangkitan semula. Bagi Pas, apakah salahnya mereka mencari jalan baharu untuk terus mara dalam politik Malaysia?

Mengikut pemerhatian penulis, Pas telah sedar bahawa mereka juga berpeluang untuk memerintah negara sekiranya melaksanakan strategi bekerjasama dengan parti lain seperti yang dilakukan oleh DAP bersama-sama PH.

Kepada Pas, apa salahnya kalau parti itu seiring dengan UMNO? Apatah lagi mereka mempunyai persamaan dari segi identiti kaum dan agama.

Sesungguhnya, DAP dan Pas pernah bekerja rapat dalam beberapa PRU yang lepas. DAP pada masa itu bertungkus-lumus berkempen untuk Pas demi menghilangkan persepsi negatif ke atas parti politik yang memperjuangkan Islam. Kerjasama itu berjaya membentuk kerajaan negeri di Selangor selepas PRU-12.

Akan tetapi, tidak disangka, hubungan baik antara DAP dan Pas tidak berpanjangan. Mereka akhirnya bersengketa dan berpisah sebelum PRU-14.

Yang peliknya, selepas PH menang, DAP pula menghalang parti-parti lain daripada bekerjasama dengan Pas. UMNO yang memilih Pas dianggap membahayakan politik Malaysia. MCA pula dikecam hebat kerana tidak mahu keluar daripada BN dan masih berdegil untuk bergandingan dengan parti-parti seperti UMNO dan Pas. DAP sering mendakwa BN dan Pas kurang berintegriti.

Adakah masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu enggan menyokong Pas dalam PRU-15 nanti? Sebenarnya, dalam beberapa PRU lepas, ada pengundi bukan Melayu yang sangat berani menyokong Pas walaupun parti itu berteraskan perjuangan Islam.

Boleh dikatakan DAP yang sebenarnya banyak berjasa dalam memperkenalkan Pas kepada masyarakat bandar bukan Melayu sehingga parti yang memperjuangkan Islam itu dirasakan tidak lagi bahaya seperti didakwa.

Pada umumnya, kaum bukan bumiputera menerima baik hakikat bahawa dominasi politik tanah air adalah dalam tangan kaum Melayu. Sebab itu mereka tidak berasa salah untuk UMNO dan Pas berganding dan tidak menganggap sesuatu yang silap untuk MCA dan MIC menyokong Pas.

Sebenarnya, berdasarkan trend pengundian bukan Melayu pada PRU lepas, apa yang mereka ingin adalah jelas iaitu mahukan satu perubahan politik bagi memastikan kerajaan lebih baik mentadbir negara.

Mana-mana parti yang sanggup membawa pembaharuan pentadbiran yang boleh menguntungkan semua rakyat, maka ia berpeluang mendapat sokongan. Oleh itu, UMNO dan Pas juga dialu-alukan untuk membela nasib kaum bukan Melayu.

Kepada kepemimpinan DAP, berilah tumpuan bagi memajukan ekonomi negara dan elakkan meresahkan rakyat Malaysia dengan retorik politik kurang matang.

AMAN KOH

Kuala Lumpur