Paling ‘menakjubkan’ Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun pun boleh terkeliru antara dua hutang tersebut. Sudahlah sendiri keliru, lepas itu mengelirukan orang lain pula dengan mengatakan kerajaan berhutang sebanyak RM800 bilion (kononnya mengikut perkiraan Bank Negara Malaysia- BNM).

Tanpa menyemak data hutang kerajaan, saya yakin penyokong Dr. Mahathir percayakannya tanpa menyedari beliau telah memberi fakta salah. Sebenarnya hutang kerajaan berjumlah RM655.74 bilion dan hutang luar berjumlah RM848.24 bilion. Besar bezanya antara hutang kerajaan dan hutang luar negara.

Secara ringkas, hutang kerajaan adalah hutang yang diterbitkan kerajaan dalam bentuk bon dan sukuk untuk membiayai perbelanjaan pembangunan kerajaan setiap tahun, manakala hutang luar merangkumi hutang kerajaan dimiliki pelabur luar Malaysia, hutang swasta kepada bank di luar negara, deposit orang luar negara di Malaysia, nota-nota perdagangan oleh pihak luar dan macam-macam lagi.

Antara contoh hutang luar negara termasuk jika ada pelabur luar melabur dalam bon kerajaan, jika ada syarikat tempatan meminjam daripada bank luar dan jika orang luar menyimpan atau mendeposit wang dalam bank tempatan.

Sebelum 2014, hutang luar Malaysia berada dalam lingkungan RM230 bilion hingga RM320 bilion (2009-2013) tetapi pada 2014, hutang luar negara mencecah RM747.76 bilion dan meningkat kepada RM833.81 bilion pada 2015.

Ramai melatah apabila mendengar berita hutang luar negara meningkat dengan begitu mendadak pada 2014. Kerana terlalu taksub untuk menghentam Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan, Dr. Mahathir, Kadir Jasin dan lain-lain menggunakan kenaikan hutang luar negara sebagai modal politik tanpa menerangkan kepada rakyat bagaimana hutang luar negara boleh naik mendadak sebegitu rupa.

Hutang luar negara meningkat daripada RM324.03 bilion pada 2013 kepada RM833.81 bilion pada 2014 bukan kerana kerajaan menambah hutang sebanyak RM500 bilion dalam tempoh setahun.

Angka hutang luar negara itu meningkat sebanyak RM500 bilion kerana pada suku pertama 2014, BNM mendefinisikan semula hutang luar negara mengikut piawaian yang ditetapkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sebelum pendefinisian semula hutang luar negara, hanya hutang-hutang dalam mata wang asing dikira sebagai hutang luar negara tetapi selepas BNM mendefinisikan semula mengikut syor IMF, hutang dalam ringgit Malaysia dimiliki pelabur asing juga dikira sebagai hutang luar negara dan termasuklah deposit-deposit oleh orang asing yang menyimpan wang dalam bank-bank di Malaysia.

BNM dalam laporan suku tahunan pertama 2014 menerangkan komponen-komponen baharu yang dikira dalam pendefinisian semula hutang luar negara dan juga bagaimana di bawah definisi baharu hutang luar negara menjadi RM700.1 bilion berbanding RM327.9 bilion mengikut definisi lama.

Kenaikan lebih dua kali ganda hutang luar negara bukanlah kerana pertambahan hutang dua kali ganda oleh kerajaan atau sektor swasta tetapi adalah kerana pendefinisian semula hutang luar negara mengikut syor IMF.

Daripada RM848.24 bilion hutang luar negara, RM443.06 bilion adalah hutang-hutang pihak swasta dan selebihnya adalah hutang kerajaan yang dimiliki pelabur luar.

Tindakan Dr. Mahathir dan pengikut yang menghentam Najib dengan menyebarkan fakta separuh masak seperti hutang luar negara ini hanyalah semata-mata untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

Malang bagi rakyat Malaysia apabila Dr. Mahathir menyebarkan berita dan fakta palsu seperti ini dan lebih malang apabila ramai yang mempercayai beliau.

RAJA ALIAS

Kuala Lumpur