Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Negara dan Raja-Raja Melayu merangkap ketua agama di peringkat negeri-negeri yang beraja. Islam adalah agama rasmi Malaysia dan hak mutlak umat Islam di negara ini untuk memartabatkan agama mereka mengikut garis panduan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Mungkin ada keperluan untuk menaik taraf Jakim kerana skop pentadbirannya kini terlalu luas dan memerlukan lebih ramai kakitangan khususnya bahagian penguatkuasaan.

Tunjuk ajar dan didikan agama mesti ditekankan supaya umat Islam di negara ini sekurang-kurangnya ada asas agama dan faham perihal halal dan haram mahupun dosa dan pahala supaya tidak terlalu jahil tentang agamanya sendiri.

Selain daripada itu, sebagai umat Islam yang 100 peratus mengikut Mazhab Imam Syafie berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita perlu pastikan semua pegawai di dalam Jakim tidak diresapi golongan berfahaman Syiah atau pun Wahabi kerana tidak bersesuaian dengan amalan umat Islam di negara ini.

Kita tidak mahu perselisihan faham tentang amalan seharian kita apabila adanya campur aduk dengan fahaman yang bertentangan.

Ambil iktibar hidup umat Islam di negara-negara Islam lain terutama sekali di negara-negara Teluk yang berkecamuk kerana salah faham agama di antara mereka yang cuba menegakkan aliran atau kepercayaan dan pegangan masing-masing.

Akhirnya mereka hilang punca dan berperang sesama sendiri dan melemahkan negara disebabkan perang saudara sehingga menjadi huru-hara, yang menderita adalah semua rakyat negara itu sendiri.

 

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan Seremban