Merujuk kepada artikel yang dikeluarkan oleh Cancer Research dari United Kingdom bahawa asap rokok adalah salah satu penyebab kepada sekurang-kurangnya 15 jenis penyakit kanser. Manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia yang antaranya penyebab penyakit kanser.

Pemantauan saya di premis makanan mendapati individu yang merokok sudah mula mengambil jarak lebih tiga meter untuk merokok. Tetapi disebabkan tiada lagi bekas abu rokok disediakan, mereka membuang puntung rokok merata-rata seperti tempat pejalan kaki, ruang awam, ketika memandu dan banyak lagi. Masyarakat mungkin lupa bahawa individu yang gagal mematuhi larangan pembuangan sampah merata-rata ini juga boleh dikompaun.

Perokok juga perlu memastikan bara api pada rokok perlu dipadamkan sepenuhnya kerana ia juga boleh menyebabkan pelbagai masalah. Pelbagai kes berlaku di negara ini hanya kerana puntung rokok.

Siapa sangka bara api puntung rokok boleh menyebabkan kebakaran terutama di kawasan rumput yang kering. Kebakaran mudah berlaku ketika cuaca panas dan kering. Adalah disarankan kepada perokok agar bertanggungjawab untuk membuang puntung rokok di tempat yang sepatutnya.

ZENO MICHAEL

Pensyarah UiTM Pasir Gudang