Lebih teruk, mereka mempertahankan tindakan itu dan menganggap kecaman dibuat oleh pihak yang cemburukan kejayaan mereka. Malah teguran netizen disanggah dengan jawapan bernada sombong dan bongkak seperti “asalkan aku buat duit, tak kisahlah apa yang aku nak tulis dan buat” dan “aku ada duit, kau ada?”

Sikap sedemikian secara tidak langsung memberi pengaruh tidak elok kepada masyarakat khasnya anak muda yang mungkin menjadikan usahawan selebriti terbabit sebagai idola, lebih-lebih lagi ada dalam kalangan usahawan terbabit tiada kelayakan tinggi dan cuma ada Sijil Pelajaran Malaysia tetapi mampu menjadi jutawan!

Kesan pengaruh buruk itu sudah ada apabila ramai menyokong dan mewajarkan tindakan mereka dengan berkata “itu IG dan FB dia...duit dia, suka hati dia lah”. Hakikatnya, pandangan sedemikian memperlihatkan kekayaan dan kemasyhuran telah menutup semua kebodohan dan kesalahan dilakukan.

Tidak dinafikan, kita bukan sempurna mana untuk menegur orang. Tetapi teguran perlu dibuat jika sudah keterlaluan memperbodohkan masyarakat. Usah terdesak melakukan gimik murahan. Lebih ‘mengharukan’, populariti pengasas mengatasi jualan produk. Jika beginilah strategi Melayu berniaga, memang cepat gulung tikarlah.

PENGGUNA FACEBOOK

Kuala Lumpur