Tidak seperti dulu, generasi muda hari ini hidup dalam persekitaran politik yang sangat mencabar. Mereka diperlihatkan pertelagahan politik secara terbuka. Misalnya serangan peribadi, kecaman dan cabar mencabar di luar batasan kemanusiaan. Saban tahun, itulah situasi yang ‘dihidangkan’ kepada generasi muda.

Seiring masa, generasi itu kelak membesar dengan bayangan persaingan dan gimik politik yang sangat sengit. Persepsi dan keyakinan politik mereka dicorakkan oleh persekitaran mencabar itu. Akhirnya inilah budaya politik yang tertanam dalam fikiran generasi muda - politik adalah medan untuk memaki hamun, kata-kata nista, memanipulasi dan lain-lain.

Andai pertembungan sengit Pilihan Raya Umum 2018 dilanjutkan pada 2050, maka malanglah nasib generasi muda. Lebih malang, takdir mereka terpaksa hidup dalam dunia pertelagahan berpanjangan. Sedangkan, mereka sepatutnya menjadi generasi produktif, matang dan warganegara yang mempunyai fokus dalam membina keluarga, masyarakat dan negara tercinta.

DR. KHAIRUL 
AZMAN SUHAIMY
Batu Pahat, Johor