Dari segi undang-undang dia mungkin ada imuniti berkata demikian dalam Dewan Rakyat tetapi pasti tidak berani mengulanginya di luar dewan.

Mohon ahli politik DAP ini rujuk kembali sejarah negara mengikut silibus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukannya sejarah import dari Taiwan dalam Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina.

Malaysia adalah gabungan negeri-negeri Tanah Melayu bersama Singapura, Sabah dan Sarawak sebelum Singapura meninggalkan gagasan ini. Tidak wujud nama Semenanjung Malaysia atau Malaysia Land dalam merujuk gabungan persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

Jangan kerana DAP memenangi sekitar 20 peratus kerusi Parlimen sudah besar kepala mahu tukar nama dan sejarah negara. Tolong sedar diri undi Melayu sekitar 80 peratus dipegang Barisan Nasional (khususnya UMNO) dan Pas.

Buruk padahnya jika berani bermain sentimen negara tidak kira usaha mengubah sejarah, bendera mahupun nama kerana orang Melayu dan bumiputera, majoriti orang India dan segelintir orang Cina tetap tidak akan mengizinkannya.

Ada batasnya sekalipun mahu mengejar agenda peribadi, jangan bermain api sampai membakar diri.

Belum cukup 100 hari sudah mahu berlagak, cuba faham ada sesetengah perkara tidak boleh disentuh sekalipun oleh kerajaan memerintah.

DARAH SATRIA

Keramat, Kuala Lumpur