Pada Julai lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mendedahkan bahawa kos pembinaan ECRL sebenarnya mencecah RM81 bilion selepas mengambil kira pelbagai kos tambahan termasuk pengambilan tanah.

Menurut beliau, ECRL hanya akan menjadi berdaya maju dari segi kewangan dan ekonomi jika terdapat pengurangan harga projek secara signifikan oleh pihak kontraktor China Communication Construction Company (CCCC).

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa projek laluan kereta api ini akan diteruskan sekiranya terma-terma dalam kontrak perjanjian boleh dirunding semula untuk mengurangkan kos serta mendapat terma baharu yang lebih baik.

Saya berpendapat adalah satu kerugian jika kerajaan berhasrat enggan meneruskan projek ECRL memandangkan kemajuan pembinaan sudah melebihi 14 peratus. Penamatan pembinaan ini juga akan menyebabkan ribuan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan.

Menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), ECRL dijangka mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung semasa tempoh pembinaannya manakala 6,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam operasinya.

Penggantungan projek ECRL baru-baru ini menyebabkan hampir 1,000 orang pekerja tempatan diberhentikan kerja.

Graduan universiti yang terpilih menjalani Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) turut menerima tempiasnya.

Justeru itu, diharapkan kerajaan tidak tergesa-gesa membatalkan projek ECRL.

Rundingan dengan China perlu diteruskan bagi mencari kata sepakat.

Ada keperluan agar projek ini diteruskan sekurang-kurangnya membina laluan rel merentasi banjaran Titiwangsa yang menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak dan Pelabuhan Kuantan sejauh 230 kilometer.

Untuk makluman, kerja-kerja persediaan awal bagi pembinaan terowong Genting menghubungkan Bentong ke Gombak telah dimulakan. Laluan rel ini amat penting sebagai alternatif kepada Lebuh Raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur yang sering mengalami kesesakan teruk setiap cuti musim perayaan.

Sebagai tambahan, Kabinet pada 2006 telah meluluskan pembinaan projek laluan kereta api dari KL Sentral ke Kuantan Sentral bagi meningkatkan pelaburan dan industri pelancongan di Pantai Timur.

Pembinaan sambungan laluan dari Pelabuhan Kuantan ke Kota Bharu pula boleh ditangguhkan sementara menunggu kedudukan kewangan negara kembali stabil.

Langkah penjimatan kos seterusnya adalah dengan menukar spesifikasi tolok landasan standard (1,435 mm) kepada tolok landasan 1 meter (1,000 mm) sama seperti tolok landasan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Spesifikasi yang sama ini membolehkan tren ECRL dapat menggunakan stesen penumpang KTMB sedia ada di Mentakab manakala lokomotif untuk pengangkutan kargo boleh menggunakan laluan rel Batu Caves-Pelabuhan Klang.

Perjalanan dari Tumpat ke KL Sentral dapat disingkatkan antara 3 dan 4 jam kerana tren dari Pantai Timur tidak perlu lagi melalui Gemas untuk ke Kuala Lumpur.

Kerajaan juga mungkin boleh merundingkan semula terma bayaran balik pinjaman pembinaan ECRL termasuk kemungkinan membayar balik menggunakan hasil komoditi negara iaitu minyak sawit.

MAT KERETA API

Kuala Lumpur