Sebaliknya menumpukan perhatian untuk membantu golongan berpendapatan rendah termasuk meluaskan kategori penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bukannya membazirkan wang untuk projek tidak bermanfaat kepada rakyat.

Sebelum ini, Dr. Mahathir sendiri bersama-sama dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) lain telah mendakwa perbendaharaan negara sudah kering dan hutang Malaysia mencecah RM1 trilion.

Kerajaan PH juga telah mengetatkan syarat permohonan BSH dengan alasan untuk berjimat cermat.

Apa logik kerajaan PH pakai apabila acara F1 melibatkan kos RM200 juta setahun mahu diadakan semula?

Dr. Mahathir jelas sekali membuat kenyataan bercanggah apabila sanggup membelanja wang beratus-ratus juta untuk menganjurkan F1 tetapi pada waktu sama mendakwa negara hampir bankrap.

Kerajaan PH sepatutnya mengagihkan wang RM200 juta tersebut untuk membantu golongan memerlukan dan masih hidup di bawah paras kemiskinan dan bukannya menganjurkan acara F1.

Selepas kerajaan PH memperketatkan syarat permohonan BSH, rakyat berpendapatan rendah semakin susah menerima bantuan pemerintah.

Kebanyakan pemohon yang layak menerima BSH adalah warga emas. Proses permohonan yang rumit telah menimbulkan kesusahan kepada golongan tersebut dan timbul bermacam-macam rungutan.

Sejak PH membentuk kerajaan baharu, ekonomi negara semakin merudum, pasaran saham mencatat kejatuhan dan lebih ramai pelabur asing menarik diri daripada melabur di negara ini.

Dasar negara sentiasa menghadapi pusingan U, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbantut dan dasar luar negara semakin huru-hara.

Walaupun negara kita menghadapi krisis ekonomi, tetapi kerajaan PH masih gagal menanganinya.

Sebaliknya sanggup menghabiskan masa dan wang yang banyak ke atas projek tidak berfaedah seperti kereta nasional ketiga yang diketahui umum sebagai ‘pembakar’ wang. Rakyatlah yang akan menderita akhirnya.

DATUK TAN TEIK CHENG
Naib Presiden MCA