Hakikat yang harus diterima, kebanyakan nelayan pantai sememangnya hidup susah. Dengan keadaan pencemaran air semakin berleluasa dan cuaca yang sukar dijangka, bantuan sebanyak itu hakikatnya disifatkan sebagai satu rahmat yang tidak ternilai.

Sekurang-kurangnya, bantuan itu mampu digunakan untuk terus menyambung kehidupan kepada kelompok yang amat-amat memerlukan.

Dilaporkan terdapat lebih 10,000 nelayan pantai (laut) dan nelayan darat yang menangkap ikan di sungai-sungai seluruh negara bergantung kepada pemberian ini. Bagi mereka, bantuan yang diterima bagaikan mentari bersinar di ufuk timur.

Jika dimansuhkan secara keseluruhannya, maka dibimbangi ramai anak-anak tidak mampu meneruskan persekolahan masing-masing.

Justeru, alangkah baiknya jika kerajaan pimpinan Dr. Mahathir dapat mengkaji semula perkara ini. Sebagai rakyat, tentunya golongan nelayan juga faham dengan masalah kewangan yang melanda negara.

Sekiranya bantuan gagal diberikan pada setiap bulan, mungkin dapat disalurkan pada musim tengkujuh, ketika nelayan pantai tiada upaya untuk ke laut.

Atau mungkin ada kaedah lain yang boleh difikirkan lebih sesuai bagi membantu kelompok memerlukan ini. Sebagai kerajaan baharu yang mengakui dekat dengan denyut nadi rakyat, amatlah diharapkan agar kerajaan Pakatan Harapan mampu memberikan cahaya kepada masyarakat nelayan yang untung nasib mereka juga umpama gelora di lautan.

RAKAN NELAYAN

Sekinchan, Selangor