KEJADIAN sebuah lori yang merempuh 37 kenderaan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kajang yang mengorbankan dua pelajar perempuan minggu lalu, amat menyayat hati semua.

Kelmarin pula, seorang bayi ber­usia 8 bulan maut selepas sebuah lori tanah yang mengalami masalah brek merempuh lima buah kereta yang diletakkan di hadapan deretan kedai di Jalan Mersing, Kluang, Johor.

Dua kejadian ini adalah tragedi kepada negara dalam kita semua baru sahaja melangkah ke tahun baharu.

Disebabkan kecuaian pemandu-pemandu lori terbabit, tiga nyawa budak melayang. Kes pertama dikatakan membabitkan lori hantu, manakala di Johor kita tidak dimaklumkan sama ada melibatkan lori hantu atau pun tidak.

Apa pun persoalannya, kenapa ada lori hantu? Jika lori hantu yang sebenarnya dirujuk kepada lori yang tidak memiliki insurans dan cukai jalan yang hanya digunakan di tapak-tapak pembinaan, kenapa lori hantu ini dibenarkan beroperasi?

Bukankah di tapak pembinaan juga mempunyai ramai pekerja yang wajib dilindungi keselamatan mereka. Jika dilanggar dengan kenderaan yang tidak memiliki cukai jalan dan insurans, mangsa yang ibarat seperti ‘mati katak’.

Maka, adalah lebih baik, lori hantu ini turut diwajibkan mempunyai cukai jalan dan insurans.

Sebagai langkah berjaga-jaga dan berhati-hati, pengguna jalan raya pun tidak begitu arif untuk membezakan sama ada lori yang berada di jalan raya, lori hantu atau tidak. Apabila sudah berlakunya kemalangan dengan lori hantu, barulah kita tahu kenderaan itu tidak mempunyai cukai jalan dan insu­rans.

Bagaimana pula, kita hendak membuat tuntutan insurans dan sebagainya, sekiranya pihak yang melanggar tidak mempunyai cukai jalan dan insurans? Hendak membuat tuntutan terus kepada tauke atau pemilik kenderaan, mungkin akan memberi macam-macam alasan dan melewat-lewatkan tuntutan.

Sewajarnya, pergerakan lori hantu ini dipantau berterusan. Bukan apabila sudah berlaku kemalangan barulah Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memantau lori hantu ini. Tentunya selepas tragedi, barulah hendak memantau dan bertindak, ini semuanya sudah terlambat dan bukanlah satu tindakan yang bijak. Tiga nyawa sudah hilang. Kesannya kepada keluarga mangsa sehingga ke akhir hayat.

Kita pun bimbang pemantauan yang dibuat hanya sekejap sahaja. Ibarat hangat-hangat tahi ayam. Selepas kes kemalangan ini tidak diperkatakan lagi, semuanya balik seperti biasa. Pemantauan pun terhenti, lori hantu pun kembali semula di jalan raya. Kenderaan itu jugalah digunakan untuk pergi makan, meng­angkut muatan dan sebagainya.

Sedangkan, kita pun dimaklumkan bahawa lori hantu ini sifatnya tidak sempurna. Tidak diselenggara dengan baik. Rosak sana sini. Brek pun tidak makan, Sebab itu, ia digunakan hanya untuk dalam tapak pembinaan.

Maka kehadirannya di jalan raya amat berbahaya kepada semua pengguna jalan raya yang berada berhampiran kenderaan itu. Sepatutnya juga, majikan atau tauke kepada pemandu berkenaan turut dikenakan tindakan yang tegas. Mengapa majikan boleh membiarkan pekerja mereka memandu kenderaan itu di luar kawasan premis atau tapak pembinaan?

Dua kejadian yang menyayat hati ini, bukan sahaja terkesan kepada keluarga mangsa. Orang ramai turut sedih dan marah dengan apa yang berlaku.

Diharapkan pihak berkaitan me­ngambil berat isu ini. Isu lori hantu membabitkan nyawa dan keselamatan orang ramai. Dan sudah pasti isu ini bukan boleh selesai dengan pemantauan sahaja kerana kita pun tahu pemantauan sering bersifat sementara.

ANTILORI HANTU

Bandar Baru Uda, Johor Bahru