Lebih menakutkan jika pemimpin Melayu Islam terpaksa menurut desakan orang bukan Islam yang memegang kuasa lebih besar dalam kerajaan.

Dalam isu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), saya cadangkan letakkan sahaja agensi itu di bawah seliaan penuh Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama negara.

Begitu juga Tabung Haji dan Mahkamah Syariah lebih sesuai dikawal selia Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong tanpa campur tangan politik memandangkan sebarang perubahan kepada agensi-agensi ini berpotensi mengancam keharmonian negara.

Sekalipun kerajaan tiada niat mengurangkan kuasa agensi dan badan Islam tetapi persepsi ke arah itu berisiko membawa kepada pergolakan yang boleh menjejaskan keharmonian antara rakyat berbilang bangsa dan agama.

Saya juga bimbang apabila mendengar Biro Tata Negara (BTN) juga berpotensi dirombak atau ditutup memandangkan agensi ini dikaitkan dengan jati diri dan maruah Melayu.

Adakah Amanah Saham Bumiputera, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lain-lain institusi Melayu Islam juga akan ‘dinilai semula’ selepas ini?

Bila agaknya sekolah vernakular, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kuil dan gereja haram malah isu-isu berkaitan bangsa dan agama lain mahu ‘dinilai semula’?

Perubahan itu bagus tetapi janganlah terlalu mendadak dan hanya fokus kepada Melayu dan Islam sahaja. Ini seperti mencurah minyak ke atas api terhadap keraguan orang Melayu dan Islam terhadap pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan kelak.

Anak kecil bermain api, terbakar dirinya yang sepi. Ahli politik tolong beringat, undi pilihan raya sekadar mandat mentadbir, bukannya lesen untuk berbuat sesuka hati.

PENGUNDI SETIA

Keramat, Kuala Lumpur