Kepentingan air untuk kebersihan dan kesihatan ada disebut dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT: “... dan Kami jadikan daripada air, tiap-tiap benda hidup, maka mengapa kamu tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30).

Pertubuhan Air Dunia melaporkan bahawa permintaan air pada 2010 meningkat tiga kali ganda sejak 1950 berbanding penambahan populasi dunia sebanyak dua kali ganda. Peningkatan tahap kehidupan dan teknologi moden dikenal pasti sebagai penyumbang. Hakikatnya sumber air bersih amat diperlukan untuk manusia menjalani kehidupan sempurna.

Selaku khalifah di bumi ini, menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk menjaga hubungan dengan alam sebagai tanda syukur di atas kurniaan Allah. Antara yang perlu dilakukan ialah tidak mencemari air dengan membuang sisa toksik dan sampah ke dalam sungai dan tali air.

Sebagai negara yang Islam adalah agama rasmi, Malaysia sepatutnya menjadi role model kepada negara lain dalam usaha melestarikan alam sekitar bebas daripada pencemaran. Menyedari alam sekitar perlu diwariskan kepada generasi akan datang, maka menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga dan memastikan alam sekitar khususnya air tidak tercemar.

ANIS NABILAH MAMAT
Universiti Sains Islam Malaysia