Saya berharap kontroversi ini sudah berakhir dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu merintis perancangan jangka panjang agar kontroversi sebegini dapat ditangani segera.

Sebagai peminat bola sepak tempatan, besarlah harapan agar perkara yang sama tidak lagi berulang tahun depan sebagaimana berulangnya masalah penjualan tiket perlawanan akhir di Ipoh mahupun di Kuala Terengganu!

Adakah FAM tidak mempunyai perancangan strategik sehinggakan urusan penjualan tiket, pengurusan perlawanan termasuk pemilihan pengadil perlawanan akhir dilakukan tanpa prosedur operasi standard (SOP) dan sistem saringan yang ketat?

Saya menyokong kenyataan Tunku Mahkota Johor dan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar kita membawa pengadil import sekiranya kontroversi seperti ini berulang lagi, terutama sekali dalam perlawanan penting yang sedikit sebanyak mencerminkan imej bola sepak Malaysia.

Cadangan penggunaan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) juga adalah langkah tepat bagi memastikan setiap keputusan pengadil tidak lagi menjadi pertikaian dan cemuhan penonton sebagaimana dilaksanakan dalam Piala Dunia 2018 pada Julai lalu.

Jangan sampai rakyat Malaysia tidak lagi meletakkan Piala Malaysia sebagai kejohanan yang berprestij gara-gara kesilapan pengurusan dalaman FAM.

Sudah tiba masanya FAM dan MFL terus bergerak ke hadapan bagi memastikan peminat tempatan terus menyokong dan berminat dengan perkembangan bola sepak Malaysia.

BOLA GETAH

Putrajaya