Kebanyakan kejadian berlaku di kawasan-kawasan yang mudah dinaiki air. Pada kebiasaannya pihak kerajaan akan menyediakan pusat pemindahan sementara sama ada di sekolah atau dewan orang ramai bagi menempatkan mereka yang menjadi mangsa banjir.

Syukur, kelengkapan serta kemudahan yang disediakan untuk mangsa-mangsa ini sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa di pusat pemindahan sementara.

Selain kerajaan, pihak-pihak lain seperti golongan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai turut menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa lebih-lebih lagi kelengkapan dan persediaan anak-anak mangsa untuk ke sekolah.

Kebetulan pula musim banjir di Pantai Timur kali ini berlaku pada musim awal persekolahan. Apa pun dalam membicarakan isu banjir ini satu perkara yang banyak pihak terlepas pandang iaitu soal menjaga aurat antara lelaki dan perempuan.

Seperti mana yang kita sedia maklum syarak telah menetapkan bahawa aurat lelaki dan aurat perempuan wajib ditutup dan haram orang yang bukan mahram melihatnya. Aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut manakala aurat bagi wanita pula adalah seluruh badan kecuali muka serta tapak tangan.

Bahagian tubuh tersebut haram dilihat mahupun didedahkan. Perintah syarak tentang kewajipan itu terdapat dalam al-Quran dan hadis. Malah Rasulullah SAW sendiri telah menghuraikan panjang lebar tentang hukum menjaga aurat dalam hadis-hadis baginda.

Kesimpulannya, aurat adalah bahagian tubuh seseorang yang tidak boleh ditayangkan tanpa sebab kepada orang bukan mahram atas tujuan untuk melindungi keaiban dan kehormatan seseorang.

Sebenarnya musim banjir bukanlah alasan yang kukuh untuk mengambil mudah atas kewajipan menutup aurat. Walau apa pun keadaan yang berlaku aurat wajib ditutup dan tiada sebarang alasan yang membolehkannya dibuka.

Oleh itu saya amat mengharapkan selain bantuan dari sudut material dan fizikal kepada mangsa banjir, pihak berwajib juga perlu memberi bantuan dari sudut spiritual dan rohani.

Nasihat, teladan dan peringatan yang baik perlu diberikan kepada mereka. Menjaga aurat hanyalah salah satu isu yang perlu diingatkan dari semasa ke semasa kepada mangsa banjir. Isu lain seperti menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita juga perlu ditekankan. Tidak terkecuali kewajipan memelihara kewajipan solat serta kepentingan menjaga kebersihan.

NUR SAADAH KHAIR

Universiti Sains Islam Malaysia