BARU-BARU ini saya mengambil alih urusan rumah sewa milik ayah di Keramat bagi membolehkan ibu bapa yang sudah semakin uzur berehat dan menikmati usia emas dengan aman.

Dari segi pembayaran sewa rumah tiada masalah kerana penyewa membayar terus ke akaun ayah tetapi rupa-rupanya selama ini mereka mengambil kesempatan ke atas keuzuran ayah setelah saya memeriksa bil dan keadaan rumah.

Mengikut perjanjian, ayah saya akan menanggung semua bil dan cukai berkaitan pemilikan rumah seperti cukai taksiran sementara penyewa membayar bil-bil kemudahan yang mereka gunakan seperti air, elektrik, kumbahan (Indah Water) dan Astro.

Kerosakan kemudahan seperti paip air bocor dan kabel elektrik rosak akan diganti tuan rumah sementara penyewa perlu membaiki kerosakan pada pintu dan perabot yang disediakan serta menjaga kebersihan.

Kumpulan penyewa yang terdiri daripada enam wanita itu tidak pernah membayar bil kumbahan dan mempunyai tunggakan bil air dan elektrik kerana kerap tidak membayar penuh bil bulanan. Bil Astro tidak pernah pula terlepas bayar.

Saya juga sedih melihat keadaan perabot, pintu dan kebersihan rumah yang kelihatan begitu lusuh dan tidak terjaga.

Sebelum ini kami mempunyai masalah serupa ketika menyewakan rumah kepada sekumpulan pelajar lelaki universiti berhampiran yang pengotor dan lambat bayar sewa.

Saya tidak sangka masalah serupa berulang dengan penyewa wanita dan terpaksa bertindak menghalau mereka keluar kerana melanggar perjanjian.

Kini rumah itu disewakan kepada sepasang suami isteri yang baru berkahwin, saya harap masalah serupa tidak berulang. Jagalah adab menyewa rumah terutama sekali menjaga pembayaran bil dan kebersihan.

ALONG KAMILA

Gombak, Selangor