Malah lebih buruk ada yang tanpa rasa bersalah memaki hamun atau menghina warga emas yang kadangkala boleh dianggap sebagai datuk atau nenek mereka.

Di negara maju, warga emas begitu dihormati golongan muda malah mereka ringan tangan untuk membantu baik berbentuk fizikal mahupun ekonomi, tidak seperti di negara kita hari ini.

Bahkan saya juga melihat kasih sayang antara anak dengan ibu bapa ataupun lain-lain ahli keluarga mereka juga semakin luntur sedangkan perkara tersebut amat dituntut di dalam Islam.

Ke mana perginya tata susila dan adat resam yang kita pupuk sejak ratusan tahun dahulu? Jika hendak dipersalahkan peradaban Barat tidak mungkin kerana mereka juga begitu menghormati dan menyanjung tinggi golongan yang lebih tua.

Para ustaz dan guru di sekolah serasa saya telah berbuih mulut menasihati dan mengajar agar kita sentiasa mengekalkan adab dan bersopan santun sesama manusia tanpa mengira apa bangsa dan agama terutamanya terhadap golongan emas.

Pun begitu, guru-guru di sekolah pun turut menjadi sasaran sikap kurang ajar golongan muda masa kini.

Jika begitu keadaannya bagaimanakah mahu mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu sekali gus diperbaiki akhlak mereka?

Sebagai orang Melayu khususnya, kita begitu terkenal dengan adab dan tata susila tinggi dalam pertuturan mahupun setiap tindak tanduk. Kekalkan warisan tersebut agar tidak hilang ditelan zaman.

Andai terdapat sebarang kesalahan dalam kalangan mereka yang berusia emas, tegurlah secara baik dan berlapik. Usahlah menggunakan kata-kata yang mampu mengguris hati apatah lagi kata-kata kesat.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Ampangan, Seremban