Inilah ketentuan Ilahi yang telah tertulis dan wajib diterima dengan hati yang reda. Cuma apa yang hendak dibincangkan di sini adalah mengenai kegagalan pihak berkuasa serta pihak syarikat terlibat memastikan jaminan keselamatan di kawasan tersebut.

Seakan-akan semua pihak terlepas pandang, bekas lombong itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang langkah keselamatan antaranya gagal memasang pagar terutama kawasan yang terdapat kolam takungan air.

Sepatutnya selepas aktiviti perlombongan tidak lagi aktif langkah-langkah keselamatan perlu diambil segera khususnya oleh pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan bekas lombong bauksit itu yang terletak berhampiran kawasan penempatan penduduk.

Pagar hendaklah segera dipasang bagi mengelakkan kolam takungan itu menjadi kawasan tumpuan kanak-kanak yang tinggal berhampiran. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana memang sifat kanak-kanak suka bermain di kawasan takungan air walaupun pada hakikatnya kawasan itu amat berbahaya.

Saya difahamkan ekoran hujan lebat sejak kebelakangan ini telah menyebabkan kolam takungan itu sentiasa dipenuhi air dan mungkin itu menjadi tarikan kepada kanak-kanak untuk berkunjung ke sana.

Dalam pada itu saya amat berharap pihak berkuasa berkenaan menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu semua lombong bauksit yang tidak lagi digunakan ditimbus bagi tujuan keselamatan.

Baginda juga mahu bekas-bekas lombong bauksit itu dipagar dan diletakkan papan tanda amaran. Saya percaya titah baginda ini bukan sahaja membabitkan bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya tetapi bekas-bekas lombong bauksit di kawasan lain.

Kemungkinan terdapat bekas-bekas lombong bauksit ini terletak di kawasan penempatan seperti mana bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya. Kegagalan memasang pagar atau menimbus bekas-bekas lombong itu seperti mana titah Tengku Abdullah itu akan mendedahkan penduduk berhampiran dengan bahaya.

Saya amat mengharapkan agar peristiwa itu dijadikan sebagai iktibar kepada kita semua. Pihak berkuasa berkaitan tidak boleh sesekali mengambil sikap sambil lewa tentang isu ini. Persediaan keselamatan perlu dilakukan tanpa kompromi.

Dengan kata lain persediaan hendaklah dibuat sekiranya syarikat pengendali perlombongan telah menghentikan kerja-kerja mereka. Sehubungan itu prosedur operasi standard atau manual berhubung tata kerja mengenainya perlu diwujudkan jika masih belum ada lagi.

Mahu tidak mahu pihak berkuasa berkenaan perlu menangani isu tersebut dengan lebih serius kerana ini melibatkan soal nyawa. Ambil sahaja contoh kes lemas di lombong bauksit ini, tiga kanak-kanak telah menjadi mangsa dan dua daripadanya adik beradik.

Pihak berkuasa di negeri-negeri lain juga perlu mengambil pengajaran ekoran berlakunya kejadian tersebut. Ini memandangkan kejadian kanak-kanak lemas di kolam takungan air pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini seperti Johor dan Sabah.

Saya juga mendapati kolam takungan air bukan sahaja terhasil daripada bekas lombong tetapi boleh juga terhasil daripada bekas kolam ternakan hidupan air, kawasan pembinaan dan kolam pengairan di kawasan pertanian.

Selain pihak berkuasa, ibu bapa termasuk jiran tetangga turut sama-sama bertanggungjawab memastikan anak masing-masing tidak bermain di kawasan berhampiran kolam takungan air. Walaupun pada asalnya mereka hanya bermain di sekitar tepi kolam dikhuatiri mereka akhirnya akan terjun ke dalamnya.

Jika tidak tahu berenang berkemungkinan mereka boleh lemas dalam tempoh tidak sampai beberapa minit. Secara peribadi saya ucapkan takziah kepada keluarga adik Sasabella Zuhairi, 12 adiknya Mahathir Moha­mad Zuhairi, 7 dan Nureen Ain Juwita Mohd. Sharif, 10 atas pemergian mereka ke rahmatullah.

ABANG TEH

Sungai Udang