Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada pukul 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan kejadian itu, Azizan di­dakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pihak kami berasa terkilan kerana kes itu tidak diselesaikan lebih awal dengan semua pihak terlibat mengambil sikap berlapang dada dan berfikiran terbuka supaya tidak ‘melarat’ sehingga ke mahkamah dan guru tersebut terpaksa ditahan reman dan digari.

Bagi memastikan kejadian itu tidak berulang, pihak kami ingin mencadangkan beberapa perkara termasuk sekolah hendaklah memaklumkan ibu bapa apabila anak-anak mereka melakukan kesalahan walaupun kecil dan ketika tindakan tatatertib hendak dikenakan.

Antara keluhan ibu bapa sebelum ini adalah pihak sekolah tidak memaklumkan salah laku anak-anak sehingga menyebabkan mereka tidak dapat bertindak lebih awal untuk sama-sama memantau dan memberikan teguran.

Ibu bapa juga mengeluh terdapat segelintir guru yang mengambil tindakan sendiri atas kesalahan yang dilakukan oleh murid. Contohnya, jika guru menangkap murid sedang merokok, terus dirotan atau ditampar. Guru berkenaan mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam pada itu, ibu bapa perlu memperbaiki sikap yang kurang rapat dengan guru-guru. Mereka sering tidak menghadiri program-program rasmi di sekolah. Mereka hanya menyerahkan anak-anak untuk dididik oleh guru-guru tanpa mengambil peduli sikap kanak-kanak itu.

Ibu bapa juga harus sedar ada segelintir murid yang mempunyai sikap suka berpura-pura apabila berada di rumah. Seperti ungkapan pijak semut pun, semut tidak mati jika berada di hadapan ibu bapa. Tetapi bila berada di luar rumah, perangai anak-anak berubah hampir 100 peratus.

Sebab itu, apabila dimaklumkan tentang salah laku anak-anak, ibu bapa tidak mempercayai dan menganggap guru membuat tuduhan liar untuk memalukan mereka.

Kepada ibu bapa, hargailah jasa guru-guru yang mendidik anak-anak kita. Bayangkan dalam rumah kita sendiri yang mempunyai tiga atau lima anak, bagaimana suasananya? Bayangkan pula sekolah yang mempunyai beratus-ratus murid. Cukup susah untuk guru-guru mengawasi setiap tingkah laku mereka. Lebih-lebih lagi warden asrama yang mengawal anak-anak kita 24 jam sehari.

Jangan nanti ada suara-suara sumbang yang mengeluarkan kenyataan bahawa ibu bapa jika anak-anak tidak boleh ditegur, buatlah sekolah sendiri, menggajikan cikgu sendiri dan buat sijil sendiri.

Oleh itu, gunakanlah kemudahan disediakan kumpulan WhatsApp ibu bapa dan guru. Lagi kecil kumpulan tersebut lagi baik (terutama kumpulan ikut kelas). Gunakan aplikasi itu sebagai medium untuk berbincang dan menyelesaikan segala masalah berbangkit tanpa perlu membawa perkara itu hingga ke mahkamah kecuali yang melibatkan kecederaan parah atau kecacatan kekal.

Pihak kami juga berharap SOP tangkapan polis yang dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tidak besar hendaklah dikaji semula. Tindakan menggari di mahkamah dan memasukkan suspek ke dalam lokap perlu disemak semula. Janganlah disamakan jenayah dilakukan penjenayah dengan salah laku guru yang tidak seberapa.

BAHARUDIN HUSIN

Timbalan Pengerusi Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Negeri Melaka