Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Jadikan aktiviti sukan budaya hidup

Program sukan, kecergasan termasuk riadah yang menarik serta interaktif
Program sukan, kecergasan termasuk riadah yang menarik serta interaktif khusus untuk golongan muda perlu dipertingkatkan. BERNAMA

SAUDARA PENGARANG,
SUKAN adalah salah satu platform untuk mengukuhkan lagi aspirasi nasional. Atas faktor itu pelbagai program sukan serta kecergasan telah diperkenalkan antaranya seperti Program Fit Malaysia.

Secara umumnya penganjuran program Fit Malaysia bertujuan memastikan rakyat negara ini di pelbagai peringkat usia khususnya golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat dan pada masa sama menjadikan Malaysia sebuah negara sukan.

Saya juga percaya usaha itu juga bertujuan meningkatkan lagi penyertaan golongan muda dalam aktiviti sukan dan kecergasan memandangkan penglibatan mereka dalam aktiviti seumpama itu masih rendah iaitu dalam lingkungan antara 30 hingga 40 peratus. Angka itu dikeluarkan oleh Indeks Belia Malaysia (IBM).

Sebenarnya, golongan muda amat berminat dengan aktiviti masa lapang yang positif malah berdasarkan pembacaan saya, minat mereka terhadap aktiviti masa lapang adalah tinggi iaitu sekitar 80 peratus. Cuma mereka kurang berminat dengan aktiviti sukan dan kecergasan.

Oleh itu, perlu dipertingkatkan lagi jumlah program sukan, kecergasan termasuk riadah yang menarik serta interaktif khusus untuk golongan muda bagi menarik minat mereka untuk membabitkan diri dalam aktiviti seumpama itu.

Persoalannya mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita lihat generasi muda di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia sudah lama menjadikan aktiviti sukan ini sebagai budaya hidup mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah Thailand dan Indonesia termasuk juga Vietnam muncul menjadi kuasa besar sukan di rantau ini. Seperti yang kita maklum Thailand berjaya merangkul dua emas, dua perak dan dua gangsa dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun lalu.

Begitu juga dengan Indonesia dan Vietnam, masing-masing berjaya merangkul satu emas. Tidak ketinggalan Singapura yang berjaya merangkul satu emas melalui acara renang. Semuanya ini hasil daripada budaya sukan yang tinggi dalam kalangan rakyat negara terbabit.

Dalam industri sukan, kita perlu menerima hakikat bahawa keperluan melahirkan atlet pelapis yang mampu berdaya saing dalam peringkat tertinggi wajar dilakukan dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai salah satu kuasa sukan dunia.

Mahu tidak mahu pencarian bakat dan latihan intensif perlu bermula seawal peringkat kanak-kanak dan paling lewat ketika di peringkat remaja. Tidak dinafikan Malaysia berjaya melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (basikal), Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan pasukan hoki kebangsaan tetapi yang agak membimbangkan ketiadaan pelapis dalam kalangan generasi muda.

Seperkara lagi adalah sikap manja yang berlebihan dalam kalangan sebahagian generasi muda kita. Mereka lebih suka mengadap komputer atau apa jua gajet berjam-jam daripada melakukan aktiviti sukan, riadah serta kecergasan.

Sebab itu, langkah Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan program Fit Malaysia dua tahun lalu tepat pada masanya. Saya yakin melalui platform Fit Malaysia yang di dalamnya terdapat banyak program sukan dan kecergasan mampu menarik anak muda kita menyertainya secara beransur-ansur.

Memang tidak dinafikan Malaysia masih jauh ketinggalan dalam mencapai status Negara Bersukan yang memerlukan penglibatan 65 peratus rakyat untuk merealisasikan hasrat tersebut tetapi itu bukan bermakna kita tidak mampu merealisasikannya.

Paling penting komitmen semua pihak dan golongan yang perlu diberikan lebih keutamaan ialah golongan muda. Mereka inilah yang akan mengambil alih tugas jaguh-jaguh sukan negara dalam pelbagai bidang sukan atau sekurang-kurangnya membudayakan aktiviti sukan dan kecergasan dalam kehidupan seharian.

Adalah amat penting juga corak pemikiran serta persepsi mereka terhadap aktiviti sukan dan kecergasan diubah, pada masa sama jangan terlalu obses dengan pelbagai jenis gajet hingga mengabaikan aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

Seperkara lagi jika sukan ini menjadi budaya hidup, setidak-tidaknya kita mampu mengurangkan pelbagai jenis penyakit yang sering menyerang rakyat Malaysia seperti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi sekali gus memberi kesan positif kepada produktiviti, pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negara.

MUHAMMAD SHARUL NAIM

Nilai, Negeri Sembilan

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain