Rata-rata pemandu teksi di Langkawi juga turut mengeluh kerana kemasukan e-hailing seolah-olah telah menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka sehingga mengakibatkan pendapatan terjejas teruk.

Ketika ini, lebih 50 peratus daripada pengguna telah beralih kepada aplikasi e-hailing. Golongan pemandu teksi sepatutnya tidak melatah sebaliknya mengambil peluang bagi menambah pendapatan dengan turut menggunakan aplikasi itu dalam meningkatkan pendapatan mereka. Langkah ini sejajar dengan seruan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook agar golongan itu merebut peluang berkenaan memandangkan corak perkhidmatan teksi pada masa kini telah berubah.

Pemandu teksi boleh mendaftar sebagai pemandu Grab dan pada masa sama menawarkan perkhidmatan teksi secara tradisional. Ini bererti mereka boleh berkhidmat secara dua dalam satu. Pada masa sama, pengguna boleh membuat pilihan untuk keselesaan pengangkutan mereka.

Pemandu teksi perlu bijak untuk meraih pendapatan tambahan berbanding hanya tahu mengeluh akibat persaingan. Lakukan perubahan dan cuba atasi permasalahan yang sering diadukan para pengguna seperti masalah tidak mengguna meter, sikap tidak mesra pelanggan dan tambang yang dikenakan ‘mencekik darah’.

Pada masa sama, kerajaan perlu mencari mekanisme yang lebih adil bagi membantu pemandu-pemandu teksi di seluruh negara. Carilah kaedah terbaik untuk memastikan teksi dan Grab dapat bersaing secara sihat.

ABDUL KADIR
Kluang, Johor