Membaca bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan tetapi menjadi sumber maklumat dan ilmu. Masyarakat yang terdidik dengan membaca akan memartabatkan diri mereka sebagai seorang yang berpengetahuan luas dan mempunyai tahap keilmuan tinggi. Apabila rakyatnya membaca, ia sekali gus memacu negara ke arah kemajuan sejagat.

Penciptaan dan inovasi perlu berpaksikan kepada pembacaan terlebih dahulu supaya tidak dikatakan syok sendiri, sebaliknya berstatus impak tinggi yang akan membuka peluang kepada pengkomersialan produk sekali gus berupaya menjana pendapatan negara.

Persoalannya, bersediakah rakyat Malaysia untuk memegang gelaran sebagai masyarakat membaca? Berapa perenggan bahan bacaan yang dibaca dalam sehari?

Jangan pula keliru, membaca bukan bermaksud membaca bahan-bahan bercetak semata-mata. Konteksnya adalah amat luas, lebih-lebih lagi bahan-bahan bacaan kini boleh dicapai secara maya.

Justeru, didiklah diri supaya berjiwa besar. Paling utama, didiklah anak-anak pewaris negara supaya turut cintakan buku. Kerajaan tidak gagal dalam menyediakan prasarana membaca tetapi rakyatnya yang kurang peka dalam memanfaatkan kemudahan itu. Daripada asyik ‘membawang’, baik kita asyik membaca!

AZURA ABDUL JAMIL
Pensyarah Kanan 
(Pengurusan Maklumat) Universiti Teknologi Mara (UiTM)