Walaupun banyak aduan dan bantahan telah dibuat nelayan, namun tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan setakat ini.

Merujuk kejadian terbaharu iaitu 600 nelayan pantai di kawasan Kota Kuala Muda hilang punca rezeki akibat aktiviti haram itu, SAM bersimpati dengan nasib nelayan terbabit dan menggesa Jabatan Perikanan serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelesaikan segera masalah itu.

Difahamkan pada 2014 terdapat 195 buah bot pukat rawa sorong yang berpangkalan di 16 jeti di Kedah dan Perlis. Jumlahnya sekarang mungkin bertambah kerana permintaan ikan baja semakin meningkat dan tindakan berkesan gagal diambil oleh pihak berkuasa berkenaan ke atas para pengusaha bot tersebut.

Pukat rawa sorong adalah diharamkan penggunaannya oleh nelayan-nelayan di negara ini. Di bawah Akta Perikanan 1985, individu yang didapati bersalah kerana melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawahnya boleh dikenakan denda RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, tinjauan SAM mendapati penggunaan peralatan itu telah menyebabkan pembiakan hidupan laut terancam dan semakin pupus. Anak ikan dan udang (benih) mati dan musnah, manakala sumber pendapatan nelayan pantai merosot mencecah 70 peratus kerana masalah tersebut.

SAM hairan mengapa masalah itu masih gagal ditangani oleh pihak berkuasa walaupun telah sekian lama mengancam sumber perikanan dan kehidupan lebih 2,000 nelayan pantai di Kedah dan Perlis.

Justeru, SAM menggesa Jabatan Perikanan me­nguat­kuasakan undang-undang sedia ada dengan merampas alat tangkapan yang diharamkan itu di semua pangkalan yang mana terdapatnya bot-bot pukat rawa sorong berlabuh dari Kuala Sungai Baru Perlis hingga ke Tanjung Dawai Kedah.

S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden SAM