Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) ingin memaklumkan terdapat dua projek pembetungan yang melibatkan sebahagian besar daripada kawasan bandar Kajang.

Projek pembetungan baharu ini adalah di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) iaitu agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Projek berkenaan adalah pakej projek pembinaan sebuah Loji Rawatan Kumbahan Berpusat berserta paip pembetungan baharu sepanjang 150 kilometer yang dibina oleh kontraktor di bawah naungan MMC Pembetungan Langat Sdn. Bhd.

Projek ini tidak melibatkan IWK dalam sebarang pe­ranan mahupun tanggungjawab. Bagaimanapun, bagi projek pembinaan paip pembetungan baharu di bawah kontraktor Sri Tinggi Sdn. Bhd. sepanjang 35 kilometer, IWK telah dilantik sebagai perunding pengurusan projek bagi tujuan penyeliaan dan pemantauan.

Kaedah pembinaan paip pembetungan baharu untuk projek-projek yang dinyatakan ini melibatkan pengorekan terus dan juga pipe jacking.

Bagi mengurangkan pengorekan secara terus, konsep pembinaan pipe jacking lebih me­numpukan kepada pengorekan di bawah tanah daripada satu ‘lurang’ (manhole) kepada satu lurang dan ini akan mengurangkan masalah jalan menjadi sempit mahupun kesesakan lalu lintas.

Pihak kontraktor perlu mendapatkan kelulusan dan permit daripada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebelum memulakan sebarang kerja.

Pihak MPKj juga sentiasa me­­lakukan pemantauan teliti dan tegas ke atas kemajuan pro­jek-projek ini termasuklah me­ngeluar­kan perintah henti kerja kepada kontraktor-kontraktor yang gagal dalam pematuhan arahan atau kerja-kerja tidak menepati syarat kualiti.

Selaku perunding pengurusan projek yang dilantik JPP untuk sebahagian daripada projek-projek pembetungan tersebut, IWK sentiasa komited dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan serta sentiasa mengambil tindakan proaktif termasuk memastikan tahap keselamatan di tapak projek dan kawasan sekitarnya terjamin.

IWK juga berharap para penduduk dan pengguna dapat bersabar dengan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan dan sentiasa mematuhi arahan di tapak untuk tujuan keselamatan semua pihak khususnya orang awam.

JABATAN KOMUNIKASI KORPORAT

Indah Water Konsortium.