Hasrat kerajaan agar rakyat membantu pemuliharaan alam sekitar. Sebenarnya, sikap bertanggungjawab termasuk penjagaan alam sekitar yang dikaitkan dengan straw bermula daripada diri kita sendiri, pendidikan atau pendedahan dan asuhan ibu bapa. Asuhan ibu bapa bermula dari rumah.

Jika anak-anak diasuh dengan sempurna dan mengamalkannya, apabila besar kelak mereka akan menjadi insan berguna, bertanggungjawab dan berdisiplin. Selain asuhan di rumah, penting juga pendidikan bermula dari tadika dan diikuti di sekolah. Jika setakat belajar untuk lulus peperiksaan tetapi tidak mengamalkan apa yang dipelajari, maka belum tentu seseorang itu menjadi orang yang bertanggungjawab.

Asuhan dan pendidikan tadi juga perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat di negara ini. Jika ini dapat dilakukan, usaha pemuliharaan alam sekitar pasti akan berjaya. Di Korea Selatan, walaupun straw tidak digunakan lagi namun jika kita berkunjung ke negara itu ia hanya melibatkan kawasan atau keadaan tertentu sahaja. Masih ada tempat yang menggunakan straw di negara berkenaan.

Negara kita sibuk dengan penguatkuasaan larangan guna straw tetapi pada masa yang sama membiarkan kekotaran sungai, hutan dan jalan raya dengan pelbagai sampah-sarap, sisa buangan dan banyak lagi. Jangan kita sibuk pasal isu straw jika masih ada kilang-kilang yang membuang sisa toksik yang mencemar alam sekitar dan hidupan liar.

Nasihat saya kepada kerajaan, utamakan dahulu asuhan, pendidikan dan penerapan nilai-nilai murni dalam setiap diri rakyat negara ini sebelum sibuk membuat langkah penguatkuasaan larangan mengguna straw kerana hanya mahu mengikut langkah negara maju tanpa mengkaji secara mendalam konteks rakyat tempatan.

WARGA PRIHATIN

Selangor