Fasa pertama apabila seseorang memohon kerja melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, pada kebiasaannya seseorang itu akan menerima surat pelawaan kemudian diikuti surat arahan di mana ditugaskan.

Pada peringkat ini, pegawai terlibat akan diberitahu skim perkhidmatan (berpencen atau tidak) dan gaji permulaan diterima berserta semua elaun yang sepatutnya diterima. Bagaimanapun penetapan gaji bergantung kepada jawatan dan kelulusan semasa iklan dibuat.

Jika sesuatu taraf kerjanya memerlukan kelulusan ijazah sedangkan pelajar belum berkonvokesyen maka gaji yang diterimanya mengikut kelulusan yang paling tinggi sebelum berijazah. Maksudnya ialah sama ada dia berkelulusan SPM atau STPM atau diploma. Gaji yang diterima mengikut salah satu yang dinyatakan. Sehinggalah pegawai itu berkonvo dan mengemukakan salinan ijazahnya barulah gajinya diatur semula mengikut surat tawaran.

Untuk makluman umum, bahawa saat inilah pegawai baharu itu belum dibayar gaji sehingga tiga bulan. Maka berhutanglah kami semua atau terpaksa memohon pendahuluan. Ini adalah prosedur biasa apabila surat tawaran, salinan sijil akan melalui beberapa peringkat sehingga tahap surat kewangan dipulangkan kembali ke pejabat asal mereka untuk dibuat permohonan gaji dan pembayaran.

Fasa kedua, setelah bekerja tanpa gaji beberapa bulan terpaksa berhutang dan meminjam barulah tiba surat yang dipanggil Surat Pengesahan Jawatan yang diiktiraf sebagai berjawatan tetap sahaja. Adakalanya surat tersebut diberikan setelah mengemukakan kelulusan tertinggi selepas konvokesyen. Di sinilah bermulanya permulaan kerja. Manakala tiga bulan pertama disebut bulan percubaan dan tidak dikira ganjaran bila pencen nanti.

Fasa ketiga, setelah melalui tempoh percubaan selama antara satu hingga tiga tahun, pegawai tersebut (perlu lulus kursus berkaitan jika ada) akan diberikan taraf jawatan tetap dan berpencen. Maka perubahan gaji dan perjawatan akan berlaku dan perkara yang sama mungkin berulang tetapi tetap dapat tunggakan gaji yang belum dibayar mengikut skim gaji yang ditawarkan.

Penulisan ini bagi menjawab kecurigaan Tun Mahathir terhadap SPA dan JPA apabila sejumlah besar lantikan politik seperti setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas dan pegawai khas menteri lambat terima gaji.

Kepada pegawai lantikan politik, mereka perlu sedar bahawa pegawai ‘cabuk’ seperti kami terpaksa melalui beberapa fasa seperti di atas dan segala kesusahan kami kena tanggung sendiri.

Jangan pula lantikan politik ini ‘besar kepala’ dan hendak semuanya segera. Kena bersabar, ingat gaji yang diterima itu adalah daripada kami sebagai pembayar cukai.

 

ZULKAS

Kg. Tengah, Ayer Baloi