Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Istiqamah perangi rasuah

Saudara Pengarang,
TAHNIAH diucapkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas pendedahan demi pendedahan serta siasatan berterusan yang diambil terhadap kes-kes melibatkan rasuah, penyelewengan wang serta penyalahgunaan kuasa dalam negara kita.

Masalah rasuah perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana impak negatifnya bukan sahaja menjejaskan diri individu terbabit, tetapi integriti jabatan serta negara. Terjebak dengan rasuah akan menyebabkan seseorang itu hilang jati diri serta mencemarkan nama baik keluarga di mata masyarakat.

Baru-baru ini rakyat sekali lagi digemparkan dengan penahanan seorang Exco negeri Johor yang dipercayai terlibat rasuah. Tahun lepas, seorang Ketua Setiausaha sebuah kementerian berserta dua anaknya juga ditahan bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk menerima rasuah.

Tahun 2016 memperlihatkan SPRM berjaya merampas sejumlah RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Sabah yang dipercayai menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion. Kes itu dianggap sebagai terbesar dalam sejarah penguatkuasaan pencegahan rasuah oleh pihak SPRM.

Pembongkaran oleh pihak SPRM itu menunjukkan usaha bagi membendung serta menghapuskan kegiatan rasuah dalam negara kita memerlukan tempoh panjang kerana ia melibatkan perubahan bukan sahaja dari sudut tingkah laku malah perubahan minda bagi memupuk pemikiran dan perasaan benci terhadap rasuah dalam diri seseorang individu.

Kita perlu istiqamah memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi, namun persoalannya kini, apakah langkah-langkah lain yang sesuai serta berkesan untuk menanganinya daripada terus berlaku?

Proses pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara berterusan antara langkah yang dijangka dapat mengekang gejala rasuah daripada terus membarah.

Negara sudah pun mempunyai pelbagai jenis undang–undang khusus bagi memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa serta perkara–perkara berkaitan dengannya, antaranya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613).

Pada masa sama negara kita juga dilengkapi dengan beberapa akta khusus bagi menggalakkan orang ramai untuk tampil sebagai saksi bagi membantu proses memerangi rasuah dalam negara kita seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).

Kesemua peruntukan undang–undang ini perlu dikuatkuasakan secara konsisten bagi membawa pesalah ke muka pengadilan agar memberi isyarat jelas kepada semua pihak bahawa amalan rasuah tidak boleh dipandang ringan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka terlibat.

Selain itu, aspek pendidikan bagi memberi pendedahan awal serta kesedaran tentang kesalahan dan kesan negatif amalan rasuah juga perlu disemai dalam kalangan pelajar. Terdapat beberapa cadangan daripada pelbagai pihak dalam negara kita sejak kebelakangan ini untuk memperkenalkan subjek berkaitan rasuah di peringkat sekolah.

Cadangan baik itu harus dipertimbangkan sewajarnya kerana pembendungan isu rasuah lebih berkesan sekiranya pendidikan awal dan kesedaran mengenai bahaya rasuah dapat diberikan kepada pelajar. Generasi muda yang dididik agar membenci gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah semasa menjalankan tugas apabila dewasa kelak.

Pendedahan awal serta aspek kesedaran mengenai gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah menerusi subjek-subjek berkaitan dengan agama, moral atau sahsiah diri seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan atau lain–lain subjek yang difikirkan sesuai.

Pihak Kementerian Pendidikan juga perlu memainkan peranan termasuk menjalin kerjasama holistik dengan SPRM, Transparency International Malaysia (TI-M), pertubuhan bukan kerajaan untuk menganjurkan kempen-kempen kesedaran menentang rasuah di semua sekolah di seluruh negara.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain