Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa kejayaan penganjuran kejohanan itulah yang mengilhamkan gagasan penubuhan badan induk seperti Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sekitar awal 1990-an.

Malangnya, setelah suku abad sejak ditubuhkan, saya tidak nampak kemampuan Istaf sebagai penganjur untuk menandingi jumlah penonton tersebut walaupun Piala Dunia pertama anjurannya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur turut penuh sesak dengan ribuan peminat sepak takraw.

Mana edisi kedua Piala Dunia Istaf? Khabarnya mahu buat di Bangkok pada 2014 tetapi sehingga hari ini sudah tiga tahun, habuk pun tiada! Begitu juga musim keempat Siri Super Istaf yang sepatutnya berlangsung tahun lalu.

Itu belum ditanya Kejohanan Belia Dunia (Bawah 18 atau 20 Tahun) anjuran Istaf? Kejohanan Wanita Dunia Istaf? Lagilah tiada! Program pembangunan akar umbi dan kejurulatihan pula bagaimana? Memang Istaf ini tidak seperti badan induk sukan-sukan antarabangsa lain.

Yang dikejarkannya sekarang adalah menghukum orang sahaja. Terbaharu melibatkan tiga pemain, dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan Malaysia yang didenda oleh Istaf sebanyak AS$18,000 (RM80,385.29) gara-gara memulau perlawanan akhir regu kedua Piala Raja Thailand di Bangkok, Oktober tahun lalu.

Anehnya jika dibandingkan dengan pemain dan jurulatih Korea Selatan yang memboikot separuh akhir Siri Super 2 Istaf 2013 menentang Malaysia, mereka tidak pula didenda sebaliknya hanya dilarang bermain dalam Siri Super 3 di Kota Kinabalu dan semua keputusan di Bangkok itu dibatalkan.

Myanmar juga dilepaskan tanpa sebarang tindakan Istaf apabila ada pegawai dan pemainnya yang memulaukan perlawanan acara berpasukan dalam Sukan SEA Korat, Thailand 2007 yang dikatakan terpaksa dilakukan atas arahan kerajaan junta tentera mereka.

Mana ketelusan dan keadilan Istaf? Peraturan tatatertibnya juga tidak jelas. Fasal apa dan artikel mana yang menetapkan denda sehingga AS$18,000 (RM80,385.29) itu boleh dikenakannya. Undang-undang apakah ini? Agaknya undang-undang Sadiq Sepak Raga (memetik filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Tiga Abdul)?

PEREJAM PENINDAS,

Tampin, Negeri Sembilan