Agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan dalam memastikan polis melaksanakan tugas mengikut landasan betul, adakah tidak mencukupi? Adakah IPCMC untuk membantai pasukan polis sahaja?

Kewujudan IPCMC akan melemahkan semangat anggota polis dalam melaksanakan tugas dengan baik. Ini kerana anggota yang bertugas di lapangan akan bertugas seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ kerana bimbang tohmahan dan niat jahat seseorang kepada mereka akan diambil perhatian serius oleh IPCMC walaupun menjalankan tugas berlandaskan undang-undang.

Selain itu, adakah kewujudan IPCMC ini untuk melemahkan kuasa orang Islam kerana majoriti anggota polis beragama Islam dan secara tidak langsung orang politik bebas melakukan apa sahaja? Atau adakah ia satu jalan mudah untuk mengikat polis agar mengikut telunjuk ahli politik tertentu?

Kerajaan harus sedar bahawa kesusahan dan kebajikan anggota polis seharusnya diberi keutamaan dengan memastikan semua keperluan asas mencukupi untuk mereka melaksanakan tugas.

Isu keselamatan tidak boleh dipandang remeh kerana kekuatan dan kelemahan negara terletak pada pasukan keselamatan. Tekanan IPCMC kepada anggota polis akan memberi ruang kepada penjenayah sekali gus memberi impak besar kepada keharmonian negara.

Banyak sekali isu-isu berkenaan penjenayah diberi pembelaan dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib, termasuk buang kerja.

Ia secara tidak langsung akan membuatkan penjenayah terus bermaharajalela kerana polis sudah lemah. Penjenayah boleh gunakan IPCMC sebagai alat melemahkan pasukan polis.

Anggota polis yang bermasalah hanya angka kecil, kebajikan pegawai polis harus diutamakan sebelum mewujudkan IPCMC. Kerajaan sepatutnya menjaga etika berhubung tajaan syarikat perjudian untuk pegawai polis menjalani kursus tertentu.

AKMAL KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda Pas Perak