Insentif dimaksudkan ialah kelulusan sebanyak 10,000 unit rumah untuk anggota PDRM di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M-PDRM) dan peruntukan sebanyak RM15 juta khusus untuk kerja-kerja pembaikan di seluruh kuarters di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Selain itu, kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga memperuntukkan dana khas Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM1.5 bilion menerusi Skim Pelaburan ASB i-KOP yang dijangka memberi manfaat kepada warga PDRM yang menjadi ahli Koperasi PDRM (KPDRM).

Pemberian insentif menerusi skim PPA1M-PDRM yang menawarkan harga jualan rumah paling rendah di pasaran iaitu antara RM120,000 hingga RM300,000 bagi setiap unit itu sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh warga PDRM memandangkan terdapat 50,000 daripada 130,401 anggota dan pegawainya terpaksa menyewa atau mencari kediaman sendiri ketika ini.

Pengumuman insentif yang disifatkan sebagai ‘buah tangan’ untuk warga PDRM itu dilihat satu langkah tepat tatkala sebahagian besar kakitangan dan anggotanya yang berdepan dengan masalah untuk membeli rumah sendiri disebabkan harga pasaran yang terlalu mahal. Dan pastinya keputusan dibuat itu melegakan hati warga PDRM.

Diharapkan dengan pengumuman terbaharu ini akan mendorong warga PDRM untuk berkhidmat dengan lebih bersemangat dan berdedikasi serta menjaga keamanan dan keselamatan negara secara profesional dan penuh integriti.

TAN SRI LEE LAM THYE

Ahli Majlis Eksekutif

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)