Setelah 10 tahun berlalu, pengguna melalui laluan jalan lama dari Ipoh ke Kuala Lumpur bakal melalui dua lampu isyarat yang wujud berdekatan antara satu sama lain, berhampiran Taman Wangsa Maju, Tanjung Malim, Perak.

Tidak dinafikan bahawa kewujudan lampu isyarat itu adalah atas permintaan masyarakat setempat di satu-satu kawasan yang terpaksa dipenuhi kerana faktor ‘menjaga hati’ mereka tambahan ketika musim pilihan raya.

Namun perlu juga difikirkan penduduk setempat lain yang terpaksa kerap berhenti ketika melalui jalan tersebut.

Tambahan pula, lampu isyarat itu terletak di kawasan perjalanan ke Kuala Lumpur yang turut dilalui pengguna lain.

Terlalu banyak lampu isyarat berdekatan juga antara punca kesesakan selain menggalakkan budaya melanggar lampu isyarat.

Pemasangan lampu isyarat baharu juga mengganggu keselesaan pemanduan kerana jalan menjadi sedikit bonggol akibat kontraktor yang memasang lampu isyarat sekadar menampal laluan bagi menyalurkan saluran elektrik.

Ini yang berlaku di kawasan lampu isyarat baharu berhampiran Taman Wangsa Maju, Tanjung Malim, Perak.Bayangkan betapa tidak selesanya pengguna kerana terpaksa melalui jalan itu setiap hari.

Justeru, saya mencadangkan agar pihak berkaitan mencari alternatif lain dalam menangani perkara ini seperti yang dibuat di bandar-bandar agar hasrat bandar bebas lampu isyarat boleh direalisasikan.

Jika pihak berkenaan masih merasakan lampu isyarat perlu wujud maka carilah inovasi dalam pelaksanaannya seperti penggunaan sensor bagi memastikan peralihan masa lampu isyarat dibuat dengan cekap kerana agihan masa juga perlu diambil kira.

 

AHMAD FIRDAUS

Tanjung Malim