Usaha kerajaan menubuhkan ombudsman Malaysia untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan amat dialu-alukan.

Langkah ini penting kerana kita memerlukan mekanisme pemantauan mantap dan berterusan bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada serta meningkatkan penguatkuasaan dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan.

Umpamanya, adalah penting bagi agensi-agensi berkaitan untuk mengambil langkah yang serius dan berterusan untuk meningkatkan persepsi orang ramai terhadap memerangi jenayah kerana mereka telah berusaha keras menjaga keselamatan rakyat dan mengekalkan keamanan di negara ini.

Polis misalnya, perlu memperbaiki perspektif negatif tersebut kerana mereka telah berjaya mengurangkan 47 peratus daripada indeks jenayah sejak 2008.

Malangnya,orang ramai masih menganggap kadar jenayah di negara ini tinggi walaupun ia telah menurun.

Berdasarkan kaji selidik Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak berasa selamat dan hanya 10 peratus daripada mereka percaya bahawa indeks jenayah telah menurun.

Oleh itu, sasaran mengurangkan masa untuk polis bertindak balas ke atas aduan kepada lapan minit dan pengukuhan kerjasama dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan keselamatan harus dipuji kerana ia akan membantu mencegah jenayah dan meningkatkan kadar penyelesaian kes jenayah.

Untuk membantu membuang persepsi negatif, agensi juga perlu mengukuhkan kerjasama dan interaksi mereka dengan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Tidak dinafikan bahawa pendekatan turun padang merupakan cara terbaik bagi anggota penguatkuasa untuk berinteraksi dengan masyarakat.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mengalu-alukan semua inisiatif baharu ini tetapi pada masa yang sama mahu melihat kebimbangan orang ramai dalam isu ini dapat diterjemahkan melalui penyertaan mereka dalam program dan kegiatan pencegahan jenayah.

Rakyat Malaysia juga harus membuang sikap tidak peduli mereka dan perlu segera memaklumkan kepada pihak berkuasa jika menyaksikan jenayah.

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan YPJM