Pelbagai kursus dan latihan berkualiti telah dirancang bagi memenuhi keperluan dan kehendak jabatan dan agensi kerajaan dalam usaha mempertingkatkan mutu kemahiran dan profesionalisme perkhidmatan awam dengan perkembangan semasa undang-undang.

ILKAP menyediakan program unik berasaskan kompetensi yang melengkapi pengetahuan, pemahaman dan kemahiran dalam penyampaian perkhidmatan perundangan merangkumi prinsip, prosedur dan teknik penterjemahan dan pentafsiran statut; prinsip asas dalam penggubalan undang-undang; etika, peranan dan tanggungjawab Timbalan Pendakwa Raya, Peguam Persekutuan dan pegawai penguat kuasa.

Selain itu turut diadakan etika kehakiman dan isu-isu serta cabaran semasa; prosedur, peraturan dan teknik penterjemahan di mahkamah dan penyelesaian pertikaian alternatif dan undang-undang semasa, termasuk undang-undang syariah dan antarabangsa, serta isu dan penyelidikan perundangan.

Menurut Ketua Pengarah ILKAP, Datuk Anita Harun, bagi tahun ini sebanyak 91 kursus telah dirancang dan dibuka kepada penyertaan bagi lima Program iaitu program kehakiman, perundangan, litigasi, penasihat dan program pembangunan kerjaya dan pentadbiran.

Sejajar dengan kehendak dunia moden yang serba pantas dan sarat dengan pelbagai isu global, ia menuntut ILKAP untuk merancang latihan berterusan kepada pegawai perkhidmatan kehakiman dan perundangan, pegawai dan kakitangan jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan-badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan swasta bagi melahirkan perkhidmatan adil dan berkesan yang memberi nilai tambah sistem perundangan negara.

Kursus dijalankan dengan pelbagai kaedah seperti ceramah, perbincangan kumpulan, forum, kajian kes, simulasi, lawatan, latih amal, tayangan video dan perbicaraan mock.

Penyertaan kursus dibuka kepada semua pihak berkepentingan. Maklumat kursus boleh dilayari di www.ilkap.gov.my.

HASHIMAH MOHD YUSOFF

Pengarah Bahagian Maklumat ILKAP