Beliau mengalahkan lima calon lain termasuk nama besar Datuk Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Mohd. Al Jufferi Jamari (silat).

Atlet berusia 20 tahun dari Perlis itu turut menewaskan Muhammad Rafiq Ismail (boling) dan Mohd. Syahrul Azman (bina badan).

Abdul Latif yang memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di Rio de Janeiro, Brazil, memecah tradisi apabila muncul atlet orang kurang upaya (OKU) pertama dipilih menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Kemenangan beliau adalah berdasarkan kepada pencapaiannya yang memadamkan rekod dunia paralimpik 7.35 meter sebanyak tiga kali dalam laluannya untuk meraih pingat emas itu.

Dia melakukan lompatan 7.47 meter pada percubaan pertama, diikuti 7.54 meter sebelum melengkapkan kejayaannya dengan jarak 7.60 meter.

Satu hakikat yang kita semua perlu akui sememangnya beliau bukan sahaja istimewa tetapi luar biasa.

Ketika atlet normal masih menunggu tempoh empat tahun lagi untuk menghadirkan pingat emas pertama Olimpik buat negara, atlet OKU sudah membuktikan kekurangan yang membelenggu bukan alasan untuk mereka tidak mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan peringkat antarabangsa.

Walaupun OKU sebelum ini tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dan hanya dipandang ‘sebelah mata’, mereka tidak pernah lemah semangat.

Akhirnya kejayaan demi kejayaan yang dilakar mereka telah mula membuka mata banyak pihak termasuk kerajaan yang telah menghulurkan pelbagai insentif.

Kementerian Belia dan Sukan turut memberi perhatian terhadap soal pembangunan atlet paralimpik di Malaysia dengan mewujudkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada 1996.

MPM berjaya menarik penyertaan lebih ramai OKU menjadi atlet sekali gus menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan atlet paralimpik diberikan kemudahan terbaik termasuk pembinaan Pusat Pembangunan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pemilihan jurulatih terbaik adalah satu aspek penting yang perlu diberi penekanan bagi memastikan atlet yang dilahirkan benar-benar berkualiti.

Jurulatih paralimpik negara, R. Jeganathan, telah membuktikan kemampuan anak tempatan dalam melahirkan atlet paralimpik yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, kerajaan negeri perlu memperkasakan aktiviti sukan paralimpik di peringkat negeri dan daerah supaya dapat dijalankan secara berkala dan sistematik.

Atlet juga perlu diberi pendedahan tentang pengetahuan sains sukan yang merangkumi pelbagai aspek termasuk fisiologi, pemakanan, sosiologi dan psikologi.

Pengetahuan sains sukan membolehkan atlet memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot dan tenaga dalam badan semasa melakukan aktiviti.

Dalam erti kata lain, pendidikan jasmani adalah satu amalan untuk meningkatkan teknik kesukanan, manakala sains sukan bertujuan menyampaikan ilmu tentang perkaitan antara badan dan sukan.

Selain itu, masyarakat perlu sentiasa memberi sokongan kepada atlet paralimpik supaya mereka dapat menonjolkan bakat terpendam.

Cemuhan dan kata negatif perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan prestasi atlet terbabit.

MUHAMMAD SHAHRUL NAIM

Negeri Sembilan