Jangan katakan komuniti India, Melayu dan bumiputera pun amat jarang digunakan dalam iklan tempatan sama ada di radio, televisyen dan internet.

Memang industri ini sejak sekian lama dikuasai usahawan Cina tetapi janganlah sampai pelakon pun semuanya diambil dalam kalangan satu kaum sahaja.

Baru-baru ini, satu iklan di stesen radio berbahasa Inggeris menggunakan seorang kanak-kanak Cina untuk ‘melakonkan’ watak Melayu tetapi amat jelas ‘pelatnya’ bukan orang Melayu.

Satu lagi iklan di pawagam oleh sebuah syarikat mesin pemanas air pula memaparkan ‘testimoni’ pembeli yang terdiri daripada keluarga Melayu, Cina dan India yang semuanya bercakap dalam bahasa Inggeris berserta dua keluarga Cina bercakap bahasa Mandarin.

Bagi saya, iklan itu menggambarkan pelanggan sasaran jenama tersebut cuma mengutamakan satu kaum sementara kaum lain terpulanglah mahu membeli atau tidak.

Ini bukan isu perkauman tetapi isu paparan tidak realistik malah condong kepada satu kumpulan (kaum) sahaja, seterusnya menimbulkan rasa kurang senang kumpulan lain malah mungkin ke tahap rasa terhina.

Masalahnya bukan kepada kaum tetapi kepada pembikin iklan dan pengiklan itu sendiri. Syarikat iklan jangan hanya fokus menggunakan pelakon dari satu kaum sahaja sementara pengiklan (pemilik jenama) pula perlu menilai iklan itu sama ada akan menggambarkan mereka ‘pilih kasih’ terhadap kaum tertentu sahaja.

Pembeli dan pengguna tiada masalah dengan iklan itu sekali pun mahu digambarkan Malaysia ini tiada orang Melayu atau India tetapi pada masa sama, jenama yang diiklankan itu juga berdepan risiko diboikot sepenuhnya.

Ini sekadar nasihat, terpulang kepada pembuat iklan sama ada mahu mengambil maklum atau kekalkan trend semasa.

KAKI WAYANG

Wangsa Maju